Sunday, 12 July 2009

SEBAB-SEBAB BERLAKU KEMALANGAN JALAN RAYA


Kemalangan ialah kejadian buruk yang berlaku tanpa diduga dan boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira masa dan tempat. Kemalangan di jalan raya kerap berlaku di negara ini terutama dalam keadaan jalan raya sesak dengan kenderaan. Kemalangan melibatkan semua pengguna jalan raya. Kemalangan tersebut menyebabkan kecederaan ringan, kecederaan parah dan kematian. Banyak sebab berlakunya kemalangan ini.


Punca kemalangan yang pertama ialah sikap negatif pengguna jalan raya seperti suka memandu dengan laju.Kereta yang dipandu terlalu laju sukar dikawal dan diberhentikan jika terdapat halangan di hadapan. Kenderaan yang dipandu laju biasanya akan terbabas melanggar tiang lampu jalan atau jatuh ke dalam longkang.


Selain itu, terdapat juga beberapa perbuatan pemandu yang boleh menyebabkan kemalangan seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Penggunaan telefon bimbit menyebabkan seseorang pemandu hilang tumpuan dan perhatian. Mereka juga tidak dapat mengendalikan kenderaan mereka dengan baik kerana menggunakan sebelah tangan saja.


Di samping itu, terdapat juga kes kemalangan disebabkan oleh pemandu kenderaan yang mabuk atau berada dalam keadaan khayal kerana pengambilan arak atau dadah. Pemandu yang tidak akan dapat berfikir dengan waras tidak akan dapat mengawal pergerakan tangan dan kaki mereka dengan baik.


Faktor fizikal jalan raya juga menjadi punca kemalangan. Jalan raya yang bengkang-bengkok, terlalu sempit, bersimpang-siur dan berlubang-lubang akan mengganggu kelancaran pemanduan. Keadaan ini lebih berbahaya jika jalan raya tidak dilengkapi lampu jalan.Keadaan gelap-gelita ini akan menyukarkan pemandu mengawal kenderaannya.


Seterusnya terdapat juga kemalangan disebabkan oleh sikap cuai pengguna jalan raya seperti pejalan kaki yang tidak memerhati keadaan lalu lintas sebelum melintas jalan raya atau tidak menggunakan jejantas yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Tidak kurang juga kanak-kanak yang bermain-main seperti bertolak-tolakan semasa di jalan raya.


Kesimpulannya, kemalangan jalan raya boleh berlaku disebabkan banyak faktor. Faktor sikap dan kelemahan manusia adalah yang paling kerap menjadi punca kemalangan. Oleh itu, untuk mengurangkan jumlah kemalangan di jalan raya, manusia haruslah terlebih dahulu mengubah sikap mereka.

MEMBACA KUNCI KEPADA A. TERUSKAN MEMBACA...

SIMPULAN BAHASA


1. angkat bahu = menyatakan tidak tahu

2. bangkai bernyawa = hidup tidak berguna (terpaksa bergantung kepada orang lain kerana diri
tidak berupaya melakukan kerja)

3. hisap darah =memeras orang (mengambil keuntungan/faedah yang banyak daripada orang lain).

4. jinak-jinak merpati = orang yang kelihatan manja dan mudah dipujuk tetapi apabila didekati menjauhkan diri.

5. tidur makan = tidak membuat apa-apa pekerjaan

6. potong jalan = mendahului atau mengambil peluang orang lain.

7. tahan hati = cekal atau kuat hati menempuh dugaan dan kesusahan.

8. termakan budi = menerima kebaikan atau pertolongan orang lain.

9. daun telinga = bahagian telinga yang di luar, cuping telinga

10. lipat kajang = selekoh sungai, jalan dan sebagainya yang terlalu tajam

11. telinga nipis = mudah marah mendengar kata-kata yang pedas.

12. lipas kudung = membuat kerja dengan pantas.

13. kutu jalan = orang yang suka berjalan-jalan sehingga jauh malam tanpa sebarang tujuan.

14. kucing kurap = orang yang dipandang hina.

15. isi hati = perasaan

16. batu api = penghasut (membuat dua pihak/orang bergaduh)

17. cangkul angin = membuat kerja tidak berfaedah.

18. gelap mata = hilang pertimbangan.

19. neraka dunia = keadaan hidup yang amat susah.

20. muka tebal = tidak tahu malu

21. muka baharu = orang yang baru dilihat

22. muka selamba = tidak peduli

23. muka dua = tidak jujur (pandai berpura-pura baik)

24. muka papan = tidak tahu malu, tidak hirau teguran

25. air muka = wajah, maruah

26. beri muka = memanjakan (mengikut kemahuan seseorang)

27. masam muka = muka kelihatan marah dan muram

28. wang muka = bayaran pendahuluan

29. ambil muka = membuat sesuatu agar disukai orang lain.

Saturday, 11 July 2009

KOSA KATA

Bahagian ini mengandungi beberapa perkataan yang sering mengelirukan pelajar.

Seperkara yang perlu pelajar perhatikan ialah makna sesuatu perkataan itu akan berubah apabila menerima imbuhan yang berlainan.


Perkataan hari ini Bold


1. sumbang - perbuatan yang tidak bersesuaian dengan norma/nilai moral masyarakat


Contoh ayat = Perbuatan sumbang pasangan kekasih itu menyakitkan hati dan
mata orang ramai.


2. sumbangan - sesuatu yang diberikan sebagai bantuan.


contoh ayat =Pemuda dan pemudi di negara ini masih sedikit sekali memberi
sumbangan kepada tanah air.


3.pendapat- buah fikiran, idea


contoh ayat = Pada pendapat saya, masalah ponteng sekolah dapat diatasi jika
pihak sekolah mengenakan tindakan disiplin yang tegas.


4.pendapatan -hasil pencarian, pekerjaan, gaji, upah


contoh ayat = Walaupun hanya berniaga kecil-kecilan, pendapatan
bulanannya lebih daripada B$5,000.


5. pelari - atlit acara olahraga


contoh ayat =Pelari pecut yang terkenal itu telah dianugerahi gelaran atlit
terbaik kejohanan Olimpik.


6.pelarian- orang yang lari dari negaranya ke negara orang lain.


contoh ayat = Pelarian perang Vietnam diberi perlindungan dan bantuan oleh
Malaysia.


7.ketam - hidupan laut, atau alat untuk menghaluskan papan


contoh ayat = Papan yang akan dibuat meja itu sudah saya ketam kelmarin.
<

8. mengetam - menuai padi


contoh ayat = Kerja mengetam padi biasanya dijalankan dalam bulan Mac
apabila padi sudah masak.


9. pandangan - pendapat , buah fikiran


contoh ayat = Pandangannya sentiasa diterima oleh majikannya kerana dia
anak emas majikannya.


10.pemandangan - penglihatan, keadaan alam yang indah


contoh ayat = Pemandangan di tepi pantai itu pada waktu senja sangat indah.




SELAMAT BELAJAR...TERUSKAN USAHA.

Friday, 10 July 2009

AYAT PASIF I , II DAN III

Hai, murid-murid Men 5 -SAS yang cikgu sayang!
Kucing ini cakap, ambillah masa baca topik yang cikgu sediakan dalam ruangan blog ni. Ada faedahnya! ^_^



Perhatian :
-Soalan ayat pasif biasanya diberikan sebanyak 10 markah.
-Soalan boleh dalam bentuk menukar ayat aktif kepada pasif atau ayat pasif kepada ayat aktif.


1. Ayat Pasif Diri I

Pelaku atau orang yang melakukan kerja di dalam ayat ini terdiri daripada orang pertama-kata ganti nama diri pertama-contohnya aku, saya, kami, kita, patik, hamba, beta.


2. Ayat Pasif Diri II


Pelaku kerja adalah orang kedua- kata ganti nama diri kedua- contohnya kamu, engkau, anda, kalian.


Struktur Ayat Pasif I dan II

-Ayat pasif I dan II mempunyai struktur yang sama iaitu

Objek -> kata bantu ->pelaku ->kata kerja pasif ->keterangan.


Contoh ayat;

a. Kerja rumah yang diberi oleh Cikgu Ali sudah saya siapkan tadi.

b. Orang tua yang miskin itu pernah kamu bantu?


3. Ayat pasif III

Pelaku terdiri daripada;

a. Kata Ganti Nama Diri III - dia, mereka, beliau, baginda

b. Kata Nama Khas - Nazmi, Dayang Ummi Salwa

c. Kata Nama Am - kucing, pelari, jururawat, peragawan



Struktur Ayat Pasif III

Objek ->Kata bantu -> di + kata kerja pasif ->oleh-> pelaku ->keterangan.


Contoh ayat

a. Rumah usang itu telah dirobohkan oleh penduduk kampung dua hari lalu.

b. Penyanyi terkenal itu diminati oleh golongan remaja.



Kata Bantu terbahagi kepada dua;

a. kata bantu aspek -akan, telah, sedang, belum, masih, pernah, sudah, dll.

b.kata bantu ragam -dapat, boleh, mesti, harus, patut, dll.


Kata kerja pasif

Tidak mempunyai awalan me- (meng, me, mem, men) tetapi akhirnya -kan dan -i MESTI dikekalkan (tidak dibuang).

GAYA HIDUP SIHAT

Setiap orang yang hidup di dunia ini mempunyai gaya hidup yang tersendiri kerana manusia dibesarkan dan dididik dalam keadaan berlainan oleh orang yang berbeza. Ada yang hidup dalam keadaan yang selesa dan sempurna, dan ada pula di sebaliknya. Jika kita perhatikan manusia di sekeliling kita, kita akan nampak pelbagai gaya hidup. Ada yang sihat, dan kurang sihat pada pandangan kita.

Gaya hidup yang sihat membawa kebaikan kepada kita kerana jika kita mengamalkannya sepanjang masa, hidup kita akan menjadi lebih bahagia dan gembira. Antara gaya hidup yang baik kepada kita ialah mengelakkan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan mendatangkan penyakit seperti merokok, minum arak dan mengambil dadah sama ada dalam dos yang sedikit atau banyak.

Selain daripada itu, kita harus memberi perhatian kepada pemakanan kita kerana pemakanan yang baik boleh membekalkan vitamin dan mineral untuk menguatkan pertahanan tubuh kita. Makanan yang tidak berkhasiat walaupun enak dimakan seperti makanan segera dan daging bergoreng hendaklah dikurangkan. Buah-buahan, sayur-sayuran dan daging putih bolehlah disenaraikan sebagai makanan yang baik.

Di samping itu, orang yang gaya hidupnya sihat akan prihatin terhadap masa rehat dan masa tidurnya. Tempoh tidur yang cukup iaitu antara enam hingga lapan jam akan memberi peluang kepada tubuh kita untuk membina sel-sel baru. Berehat daripada sebarang pekerjaan pula dapat mengurangkan tekanan dan menenangkan tubuh. Pada masa yang sama, kita boleh melakukan senanam ringan.

Gaya hidup yang sihat juga termasuklah cara pergaulan kita dengan manusia di sekeliling kita. Setiap manusia memerlukan kawan, namun untuk berkawan kita hendaklah pandai memilih kawan. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada terpengaruh dan terjerumus dalam perkara yang tidak sihat seperti terlibat dalam jenayah atau penyalahgunaan dadah. Kawan yang bersikap baik pula dapat kita jadikan sebagai tempat meluahkan perasaan dan berbincang tentang masa depan.

Seterusnya, kita harus sentiasa berfikiran positif tentang diri kita dan masa depan kita. Apabila usaha yang kita buat bertemu kegagalan, janganlah mudah mengaku kalah. Apabila kita berdepan dengan masalah, janganlah mudah hilang akal. Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa setiap masalah ada penyelesaiannya. Kita patut yakin bahawa setiap kejadian yang berlaku kepada kita ada hikmahnya.

Selain itu, kebersihan dari segi mental, fizikal dan persekitaran hendaklah sentiasa dijaga. Mental kita boleh dibersihkan melalui amalan ajaran agama yang baik. Perkara yang boleh merosakkan mental seperti laman lucah hendaklah dielakkan. Mandi, memakai pakaian bersih, dan mencuci tangan pula adalah antara cara menjaga kebersihan fizikal. Kebersihan rumah, halaman rumah dan alam sekitar juga hendaklah dijaga.

Sesungguhnya terdapat banyak perkara yang perlu kita berikan perhatian untuk hidup dalam keadaan yang sihat. Hampir kesemua perkara tersebut berpunca daripada diri kita sendiri. Kita adalah orang yang bertanggung jawab menentukan gaya hidup kita dan bukannya orang lain. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengamalkan gaya hidup yang sihat.

MEMBACA SUMBER ILMU!!! Teruskan membaca setiap hari. :-)

PERAMBAHAN BRUNEI-diedit pada 12/7



Perambahan Brunei diberi antara 5 hingga 10 markah sahaja.


Soalan berkemungkinan dalam bentuk:-


a.memberi makna untuk perambahan Brunei yang terdapat dalam soalan
b.memberi perambahan Brunei yang sesuai dengan situasi yang diberi
c. menulis ayat yang dapat menunjukkan makna perambahan Brunei.


ULANG KAJI (44 Perambahan Brunei - daripada buku teks Men 4 dan 5)


1.amai tangan :suka menjangkau-jangkau (menyentuh) sesuatu tanpa tujuan


2.ampar kajang:jatuh terlentang 9akibat dipukul atau tergelincir)


3.anak bunga tubuh : anak sulung

4.ambit malu : tersinggung (kerana mendengar atau melihat orang lain dicabar/dicaci)

5.abis jadi tayi : habis dibelanjakan (digunakan)


6.barang tikam-tikaman : barang yang rendah mutunya

7. balas ati : merajuk

8. biar cangkik jangan putus : berjimat cermat supaya tidak kehabisan.


9.basar awa : besar keinginan tanpa perhitungan (tidak melihat keupayaan diri)


10.berangin : tidak tetap pendirian (selalu berubah)


11.berisi jua balanga : beroleh jua tangkapan (ikan)


12.berkulut-kulut : sentiasa berada di satu tempat.


13.biawak punggur : lelaki yang malas dan enggan berusaha mencari rezeki

14. bacakap inda badinding-dinding : percakapan yang tidak bertapis, terlalu berterus terang.

15. babasah bakaring : Bekerja bertungkus-lumus tanpa menghiraukan rasa letih.

16.camah mata : memerhatikan sahaja sambil duduk diam.

17.cardik macam buratak nasi : bercakap tidak berhenti-henti.

18.carai-carai patungut : perselisihan di kalangan sanak saudara tidak akan membawa bercerai-berai.

19.cukup pun inda tangan kiri : bukan tandingan atau lawanan.


20.diangkat digalar : dipindah-pindah dari satu tempat ke satu tempat.

21. Di mata-mata : sentiasa teringat-ingat, terbayang-bayang


22.garam-garam sakit : rasa marah yang masih dapat dikawal(geram)


23.galak rasa : terasa malu


24.ikat galang-galang : sesuatu yang belum muktamad.


25.inda arakat : tidak kekal (pencarian, perolehan, pendapatan)


26.panas tangan : tidak dapat berjimat cermat (boros)


27.Inda tantu bigi-bigian : perkataan atau percakapan tidak jelas didengar


28.kalang ati : sedih hati hingga tiada selera makan dan minum kerana teringat orang yang dikasihi.


29.kambang buku : berasa ngeri atau seram (takut)


30.kapir malaun : orang yang terlalu jahil tentang agama.


31.kedapatan akhir : terlewat , sudah tua (sama dengan kedapatan siang)

32.lada padi : berbadan kecil tetapi berani

33.macam dinding : tidak dihormati


34.macam itik sudu-sudu : suka menghadirkan diri walaupun tidak dijemput.


35.macam gulambir ayam : kendur dan berkedut-kedut (kulit)


36.macam ular lundung: malas


37.masak puji : suka dipuji ketika membuat sesuatu


38.membawa rasa : pergi ke mana-mana mengikut perasaan


39.membuang ukas : melepaskan perasaan geram dan marah.


40.minyak-minyak : terlalu mudah (melakukan sesuatu)


41.orang damit-damit:orang kebanyakan (orang biasa)


42.otak di kapala tuhut : tidak menggunakan fikiran dengan betul.


43.palandukan: kurang betul tajwid, sebutannya (membaca quran)


44.pacah-pacah bigi :tidak lancar membawa


45.puah ati :tidak tabah menghadapi dugaan dan cabaran.


46.rambang-rambang kuasi :cuba-cuba atau agak-agak sahaja.


47.sanak nyawa :sesak fikiran


48.surung kurapak :banyak cakap kurang bekerja.


49.tukang sabut :pandai bercakap sahaja


50.turun-turun ayam :pergi atau membuat sesuatu tanpa persediaan

51.waimapun ancur bersiut :apa pun yang akan terjadi (enggan bertolak ansur)

52. membuang ukas : melepaskan perasaan marah dan geram.

53. macam ampulur gandum : Tidak bertenaga (orang),

54. pantas mulut : cepat menyebarkan cerita.

55. lidah api : keras dan kasar (percakapan)

56. anak dagang : anak yang kematian ibu kandungnya.

57. tanggung-tanggung alang : tidak bertanggungjawab sepenuhnya.



SELAMAT MENGULANG KAJI PELAJARAN ANDA. TERUSKAN USAHA :-)

****terima kasih Chuen Han *****

Wednesday, 8 July 2009

TATABAHASA (KESALAHAN DALAM AYAT)

a.Biasanya diperuntukkan 10 markah untuk soalan ini.

b.Terdapat satu atau dua frasa dan perkataan yang salah.

c.Ayat yang telah dikenalpasti dan dibaiki perlu ditulis semula (gariskan bahagian yang anda baiki).

d.Walau bagaimanapun, arahan soalan hendaklah diberi perhatian kerana kemungkinan anda tidak perlu menulis semula ayat berkenaan.

e.Kesalahan yang perlu diberi perhatian adalah seperti:-

penggunaan tanda bacaan, ejaan, penggunaan perkataan atau frasa, struktur ayat, kata bilangan, kata sendi nama, kata penguat (digri) dan imbuhan.

CONTOH-CONTOH AYAT MENGANDUNGI KESALAHAN


Contoh I- Para murid-murid yang menyertai lawatan itu diminta menyerahkan borang kebenaran ibu-bapa pada pagi esok.

Kesalahan dalam ayat ---> para murid-murid , ibu-bapa
Pembetulan ---> Para murid , Murid-murid, ibu bapa

Penjelasan :

1. Para ialah kata bilangan jamak, oleh itu tidak boleh diikuti oleh kata nama ganda yang menunjukkan bilangan jamak (lebih daripada 1)

2. Ibu bapa ialah kata majmuk , bukan kata ganda. Oleh itu, tidak boleh diletakkan tanda -


Contoh II-Gadis yang akan saya temui tadi sangat cantik sekali.

Kesalahan --->akan (kata bantu aspek) , sangat cantik sekali.
Pembetulan ---> telah , sangat cantik, cantik sekali

Penjelasan:-

1. kata bantu akan merujuk kepada perkara yang belum berlaku.

2.sangat dan sekali ialah kata penguat atau kata digri. Hanya satu kata digri diperlukan dalam satu ayat.


Contoh III-Kawan Ahmad yang daripada Korea itu terkejut bila melihat adik kembar Ahmad.


Kesalahan ---> daripada , bila
Pembetulan ---> dari , apabila

Penjelasan

1. kata sendi daripada digunakan untuk kata sendi nama, dan sumber (asal) sesuatu. Dari digunakan untuk masa dan tempat.

2. bila ialah kata tanya dan digunakan dalam ayat tanya. apabila digunakan dalam ayat penyata.


SEDIKIT-SEDIKIT LAMA-LAMA MENJADI BUKIT.