Wednesday, 8 July 2009

USAHA MENINGKATKAN MUTU SUKAN DI BRUNEI

ISU ---> SUKAN
ISI ---> USAHA (CARA) MENINGKATKAN MUTU SUKAN








Aktiviti sukan terdapat di mana-mana saja. Terdapat beberapa sukan yang terkenal di dunia seperti bola sepak, bola keranjang, badminton, seni mempertahankan diri, dan golf. Antara atlit yang terkenal di seluruh dunia ialah Tiger Wood, dan David Beckham. Setiap negara berusaha menggalakkan rakyatnya melibatkan diri dalam sukan kerana sukan mendatangkan kebaikan. Pelbagai usaha untuk menaikkan mutu sukan juga dibuat secara berterusan.

Usaha yang telah diambil oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan mutu sukan negara pada masa kini adalah seperti membina sekolah sukan. Sekolah ini menempatkan generasi muda yang mempunyai bakat dalam bidang sukan masing-masing. Di sekolah ini, bakat mereka diasah dengan bimbingan guru-guru sukan yang berkelayakan dan berpengalaman menyertai pertandingan di peringkat antara bangsa.

Selain itu, kerajaan juga menggalakkan penubuhan persatuan sukan oleh badan-badan bukan kerajaan. Persatuan renang, bola sepak, badminton, dan karate banyak didapati di negara ini. Setiap persatuan mempunyai jurulatih yang bukan saja diambil dari dalam negara tetapi juga dari luar negara.Jurulatih yang mahir dalam bidang mereka akan memberikan tunjuk ajar kepada ahli-ahlinya.

Selain daripada itu, kerajaan juga memperkenalkan skim ganjaran kepada atlit yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antara bangsa seperti sukan SEA, Asia, dan Olimpik. Mereka yang berjaya membawa sebutir pingat balik ke negara ini akan diberi ganjaran yang lumayan dalam bentuk wang.Ganjaran seperti itu sudah semestinya memberi semangat kepada atlit untuk terus berusaha hingga berjaya.

Kerajaan juga menggalakkan kanak-kanak yang masih muda untuk melibatkan diri dalam bidang sukan melalui Pendidikan Jasmani dan kegiatan kokurikulum yang memasukkan kelab sukan sebagai satu daripada persatuan yang boleh disertai oleh pelajar. Pelajar yang berbakat dalam bidang sukan yang diminatinya akan berpeluang untuk menunjukkan bakat mereka apabila terpilih sebagai wakil sekolah dalam beberapa pertandingan.

Secara keseluruhannya dapat dikatakan bahawa mutu sukan negara ini masih dapat ditingkatkan sekiranya usaha-usaha yang telah dan sedang dibuat diteruskan. Kerajaan dan masyarakat juga seharusnya berusaha mencari cara untuk meningkatkan mutu sukan supaya bendera negara ini akan berkibar di kejohanan antara bangsa pada suatu hari kelak.

SELAMAT MENAMBAH ILMU PENGETAHUAN

Tuesday, 7 July 2009

DADAH MEMBAWA MUDARAT KEPADA MANUSIA.HURAIKAN

1. Tajuk sedemikian memerlukan anda membuat huraian atau penjelasan yang lebih terperinci.

2. Perkataan yang perlu anda berikan perhatian dan fahami ialah mudarat. Mudarat bermaksud kesan buruk.

3. Sebelum menulis karangan- adalah perlu untuk anda membuat rangka karangan (draft) atau peta minda (mind map) untuk membolehkan anda melihat sendiri sama ada anda mempunyai
cukup isi atau tidak.

4. Oleh itu, apabila anda memilih tajuk ini, anda harus tahu isu (topik) utama dalam tajuk ini dan isi (kehendak soalan).

CONTOH

Isu : dadah (kenapa dadah? jawapannya kerana dadah ialah perkataan yang disebut dari perenggan pertama hingga terakhir)

Isi (huraian yang dikehendaki oleh soalan) = mudarat yang dibawa oleh dadah kepada manusia.

5. Selepas mengenali pasti isu dan isi tajuk tersebut, anda bolehlah membuat rangka karangan dengan menjadikan isu sebagai pendahuluan/ pengenalan.

## beri perhatian bahawa ayat terakhir pengenalan anda hendaklah membayangkan isi-isi yang akan anda tulis. Contohnya - dadah membawa mudarat kepada manusia.

6. Membuat rangka atau peta minda karangan. Rangka hendaklah ditulis dengan kemas.

RANGKA KARANGAN

a. Pengenalan -

penahan sakit, diharamkan di setiap negara, pengedaran membawa hukuman mati, contohnya heroin, marijuana, ganja dan syabu, dijual dalam bentuk pil, kapsul, dan serbuk, penagihan disebabkan banyak punca, membawa mudarat kepada manusia.

b. Isi (anda mesti mempunyai sekurang-kurangnya lima isi)

I - menyebabkan ketagihan - mesti mendapatkan dadah sepanjang masa,
jika tidak mendapat dadah berasa lemah seluruh anggota badan, tiada
semangat untuk menjalani kehidupan,sukar untuk melepaskan diri
daripada ketagihan ini.

II - kualiti kerja merosot - hilang kerja- hilang gaji - keluarga mengalami masalah kewangan - hubungan dengan kawan dan keluarga jarang, anak-anak tidak dapat dibesarkan dalam keadaan yang baik - menyebabkan mereka tercicir.

III-penagih terlibat dalam jenayah dan keganasan (beri contoh) - untuk mendapatkan duit supaya dapat membeli dadah- akhirnya mereka ditangkap polis, mati dibelasah orang ramai, atau ditembak oleh polis.

IV- kesihatan fizikal dan mental terjejas -HIV melalui perkongsian jarum suntikan, sel dan saraf dalam otak musnah - menyebabkan ketidakwarasan - akhirnya tidak mampu menjaga diri sendiri - membebankan keluarga dan masyarakat.

V - pengedaran dadah untuk mendapatkan wang yang banyak - berisiko tinggi - jika ditangkap - dipenjara seumur hidup atau dihukum mati - nyawa yang diberi oleh Allah disia-siakan.

c. Penutup - dadah menyebabkan ketagihan, masalah kesihatan, sosial, dan jenayah- dadah harus dijauhi kerana hanya membawa keburukan - kempen kesedaran tentang bahaya dadah mesti diperbanyak.


7. Tulis karangan anda dengan kemas dan jangan lupa menggunakan penanda wacana seperti selain itu, di samping itu, seterusnya, selain daripada itu, untuk menyambungkan setiap perenggan.



SELAMAT MENCUBA...:-))


Monday, 6 July 2009

PUNCA & CARA MENGATASI MASALAH OBESITI

Menurut kamus DBP, Kuala Lumpur Edisi Ketiga, obesiti bermakna kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak yang berlebihan. Obesiti menimbulkan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, dan tekanan darah tinggi. Orang yang mengalami masalah obesiti juga tidak dapat menHuruf condongikmati kehidupan mereka sepenuhnya kerana badan yang terlalu gemuk sudah semestinya membataskan pergerakan mereka. Mereka juga akan mengalami tekanan akibat perasaan malu dan rendah diri. Hasil kajian yang pernah diterbitkan dalam Media Permata di Brunei menunjukkan bahawa peratusan penduduk obes di negara ini adalah yang tertinggi di Asia.

Masalah obesiti sebenarnya berlaku disebabkan oleh cara hdup yang tidak sihat seperti tidak menjaga pemakanan seharian. Pengambilan makanan yang berlemak tinggi dan terlalu manis boleh membawa kepada masalah kegemukan. Cara memasak seperti menggoreng juga boleh menjadi penyumbang kepada pengumpulan lemak dalam badan. Untuk mengelakkan obesiti yang berpunca daripada masalah ini, kita hendaklah makan lebih banyak sayur, buah-buahan dan sumber protein yang lain seperti ikan. Kita juga hendaklah mengurangkan penggunaan minyak untuk menggoreng makanan dan memasak dengan cara mengukus, membakar atau merebus.

Selain daripada itu, sikap malas dan tidak suka bersenam juga menjadi punca berlakunya masalah obesiti. Apabila kita terlalu memanjakan tubuh dengan cara tidak melakukan sebarang pergerakan senaman, lemak akan terus terkumpul dalam badan kita. Akhirnya badan kecil menjadi tembam, gempal, dan gemuk. Oleh itu, kita mesti melakukan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu selama 30 minit. Antara senaman yang boleh dilakukan oleh mereka yang malas atau sukar melakukan pergerakan ialah berjalan kaki pantas, berenang, atau bermain badminton. senaman ini dapat mengelakkan kecederaan.

Di samping itu, peningkatan restoran makanan segera dan penjualan makanan dalam bungkusan atau tin turut menjadi satu punca obesiti. Restoran makanan segera seperti KFC, Mcdonald, Ayamku, dan Pizza Hut digemari ramai penduduk Brunei terutama mereka yang bekerja kerana mereka tidak perlu lagi bersusah payah untuk memasak makanan selepas penat bekerja. Walaupun makanan yang disediakan oleh restoran makanan segera ini menyelerakan, orang ramai harus sedar bahawa pengambilan makanan ini haruslah dikurangkan kerana makanan ini tidak berkhasiat dan mengandungi kadar garam, gula, dan lemak yang tinggi.

Kesimpulannya, masalah obesiti hendaklah diatasi untuk mengelakkan perkara buruk yang timbul sebagai akibatnya. Obesiti yang berpunca daripada pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam dapat dielakkan jika kita mengubah pengambilan makanan, cara memasak, dan lebih kerap bersenam. Membuang lemak dalam badan bukan perkara mudah untuk dilakukan. Usaha ini memerlukan kesabaran dan kesungguhan.

Perhatian : terdapat beberapa lagi isi yang boleh dimuatkan dalam esei pendek
ini. sebagai contoh, sekiranya isu melibatkan masyarakat, anda
boleh mencadangkan suatu kempen kesedaran dijalankan oleh
pihak kerajaan dan bukan kerajaan.


Perkataan hari ini :

1. Pelbagai = berbagai-bagai
2. Mengelakkan = menghindarkan, menjauhkan, menyingkirkan
3. Punca = pangkal, sebab bermula, sumber, asal