Thursday 6 August 2009

SOALAN MEMBINA AYAT 'O' LEVEL

1. Soalan membina ayat dimasukkan dalam soalan no.2 (kertas 2).


2. Sebanyak 10 markah diperuntukkan bagi soalan ini.


3. Ayat yang anda buat hendaklah tidak kurang daripada 8 patah perkataan.


4. Ayat yang dibuat mestilah;


(a) dapat menunjukkan makna perkataan.


(b) dapat menunjukkan anda mempunyai pengetahuan tentang isu semasa
atau dunia luar.


(c) mengandungi nilai moral yang positif.


5. Tanda bacaan, ejaan, dan struktur ayat hendaklah diberi perhatian.


6. Soalan membina ayat biasanya terdiri daripada beberapa jenis seperti;


(a) kata dasar yang diberi imbuhan berlainan untuk membezakan maknanya.
Contoh - alir, mengalir, mengaliri, mengalirkan, beraliran.


(b) pasangan kata tunggal (kata dasar) dan kata ganda.
Contoh -api api-api


(c) pasangan kata tunggal dan kata majmuk
Contoh - air air mata


(d) kata banyak makna (homograf) - ejaan sama, sebutan berlainan
Contohnya - rendang (makanan) rendang (pokok)


(e) pasangan kata hampir sama bunyinya
Contoh - tempoh tempuh


(f) pasangan kata majmuk
Contohnya - air mata mata air



MEMBACA KUNCI KEJAYAAN DALAM MENGUASAI BAHASA...:-)

PETUA MERINGKASKAN KARANGAN

Maklumat penting mengenai meringkaskan karangan


1. Meringkaskan karangan adalah WAJIB untuk dijawab.


2. Bahagian meringkaskan karangan menjadi soalan nombor 1 dalam kertas 2.


3. Sebanyak 40 markah diberikan untuk soalan ini.


4. Anda dikehendaki meringkaskan petikan menjadi lebih kurang 100 patah perkataan sahaja
.


5. Petikan asal yang diringkaskan lebih kurang 350 patah perkataan.


6. Petikan asal mempunyai 4 hingga 5 perenggan.


7. Ringkasan hendaklah ditulis dalam satu perenggan sahaja. Pastikan kerja anda kemas!


8. Jumlah perkataan mestilah dikira dengan teliti. Jangan menipu jumlah perkataan kerana hal ini akan menyebabkan pemotongan markah.


9. Anda hendaklah mencari antara 8 hingga 10 isi.


10. Semasa dalam 'O' level, anda akan diberi buku jawapan. Pastikan anda menulis ringkasan pada muka surat yang pertama, dan soalan seterusnya pada muka surat kedua.




Langkah-langkah menulis ringkasan


1. Baca keseluruhan petikan dan cuba kenalpasti isu dalam petikan itu.


2. Baca petikan untuk kali kedua - kali ini anda boleh mula menggariskan isi-isi penting.

3. Ayat pertama biasanya isi penting, tetapi anda harus juga mencari isi penting pada ayat yang lain.



4. Jika anda tidak dapat mengenal pasti isi penting, singkirkan ayat yang mengandungi contoh terlebih dahulu. Ini akan dapat mengurangkan jumlah perkataan untuk dipilih sebagai isi penting.


5. Contoh dalam karangan didahului oleh perkataan --> seperti, misalnya, contohnya, umpama, macam, ibarat.


5. Anda juga dinasihati menyingkirkan isi berulang.


6. Perlu juga untuk anda ingat bahawa perkataan yang terkandung dalam ayat isi tidak semestinya diambil kesemuanya. Hanya perkataan atau frasa penting sahaja diambil kemudian disusun dalam bentuk ayat yang baru.


7. Semasa menulis ringkasan, pastikan ayat anda mempunyai kesinambungan. Kata hubung dan penanda wacana bolehlah digunakan.



SEMOGA BERJAYA...!!

Tuesday 4 August 2009

BELAJAR PERKATAAN BARU 4/8/09

1. Dianugerahi - Dikurniakan atau diberi hadiah yang tinggi dan besar nilainya.


2. Lembam/Lembap - Lambat atau kurang mencapai kemajuan dalam pelajaran.


3. Mengasah - Menajam atau meningkatkan dan mengembangkan dan meningkatkan bakat.



4. Bakat terpendam - Kebolehan yang belum diketahui atau diperlihatkan kepada orang umum.


5. Diketengahkan - Dikemukakan.


6. Lumayan - Banyak sekali.


7. Bimbingan - Tunjuk ajar.


8. Ditepis - Ditangkis atau dielakkan.


9. Bertauliah - Mempunyai perlantikan yang sah ( kerana mempunyai kelayakan/kelulusan)


10. Haram - Ditegahkan oleh undang-undang.


11.Keghairanan - Keinginan yang sangat kuat.


12.Menguntungkan - Memberi faedah atau manfaat.


13. Tamak - Haloba atau ingin memiliki sesuatu tanpa batasan.


14.Longgar - Tidak sempit, lapang dan(tidak ketat) untuk undang-undang.


15. Berleluasa - Melakukan sesuatu dengan bebas atau sesuka hati.


16. Ganjaran - Hadiah untuk perbuatan yang baik dan balasan untuk perbuatan ynag tidak baik.


17. Membanteras - Membasmi, menghapuskan, memerangi.


18.Fenomena alam - Kejadian alam semula jadi yang dapat diperhatikan.


19. Sepakat - Satu pendirian atau seia sekata, mencapai persetujuan.


20.Sejagat - Seluruh dunia.


21. Melampau - Keterlaluan atau melebihi batas.


22. Kekontangan - Kekeringan atau ketiadaan air.


23. Dahsyat - (menakutkan) pembunuhan atau kemalangan, sangat hebat (bencana, bunyi)


24. Paras - Wajah dan had atau aras.


25. Mengeksploitasi - Menggunakan sesuatu atau seseorang untuk mendapat faedah.


26.Mesra alam - Kegiatan atau benda yang tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar.


27. Kaedah - Cara-cara.


28. Wariskan - Tinggalkan.


29. Disalahgunakan - Digunakan dengan cara atau tujuan yang salah.


30. Ubat penahan sakit - Ubat yang digunakan untuk mengurangkan atau menghilangkan kesakitan.


31. Musuh utama - Seteru atau lawan yang dianggap paling besar.


32. Tidak siuman - Gila atau tidak waras.


33. Bekalan - Benda-benda yang dipakai atau digunakan pada masa depan.



34. Kemurungan - Kemuraman atau keadaan tidak gembira semasa mengalami kekecewaan dan kesedihan.


35. Tercicir - Tertinggal daripada kemajuan atau pelajaran, terjatuhdi tengah jalan(wang).


36.Nikmat - Keenakan atau kesedapan.


37. Terjerumus - jatuh tersunggur atau terlibat dalam sesuatu kejadian buruk.


38. Sasaran - Tujuan.


39. Berjinak-jinak - Bergaul dengan ramah, mula melibatkan diri.


40. Memerangi - Melawan atau menghapuskan.


ditaip oleh,

Kenny Teo (Men 4S2)


SEMOGA ANDA BELAJAR PERKATAAN BARU.

Thursday 30 July 2009

PUNCA PENYALAHGUNAAN DADAH DAN CARA MENGATASINYA

(Gambar ini cikgu ambil di Cabramatta Sydney, banyak penagih di sini!!)
Penyalahgunaan dadah bukan perkara baru di dunia ini. Masalah ini telah berlaku sejak ratusan tahun lalu. Sebenarnya, dadah yang menjadi ubat penahan sakit sebenarnya tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan. Masalah timbul apabila manusia menyalahgunakannya untuk kepuasan dan keseronokan diri mereka. Antara dadah yang terdapat di dunia ini ialah heroin, marijuana, morfin, ganja, dan syabu.


Banyak negara menjadikan dadah sebagai musuh utama negara. Hal ini disebabkan penyalahgunaan dadah mengakibatkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Seorang penagih dadah yang hidup dalam ketagihan boleh mengakibatkan masalah jenayah seperti mencuri atau merompak semata-mata untuk mendapatkan wang supaya dapat membeli dadah. Mereka yang tidak dapat diselamatkan daripada ketagihan juga akan menjadi sampah masyarakat. Malah ada yang menjadi tidak siuman.


Penyalahgunaan dadah sebenarnya berpunca daripada pelbagai faktor. Faktor pertama ialah keinginan mencuba sesuatu perkara yang baru. Keinginan ini akan menjadi teruk sekiranya seseorang itu bergaul dengan penagih kerana mereka boleh terpengaruh dan mudah pula untuk mereka mendapatkan bekalan dadah.


Selain itu, tekanan yang dialami akibat masalah peribadi, keluarga dan kerja turut mendorong seseorang itu untuk menyalahgunakan dadah. Apabila tekanan emosi keterlaluan, kemurungan berlaku hingga mereka tidak mampu lagi berdepan dengan tekanan itu. Akhirnya dadah menjadi teman setia yang dapat membolehkan mereka lupa kepada tekanan yang dihadapi.


Penyalahgunaan juga disebabkan oleh kurangnya kesedaran terhadap kesan buruk yang akan menimpa mereka yang ketagih dadah. Sudah pasti banyak remaja yang tercicir dari sekolah atau yang berasal dari luar bandar tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang kesan buruk dadah. Oleh itu, apabila mereka telah merasai nikmat dadah, mereka beranggapan tiada apa-apa yang akan berlaku kepada mereka.


Sekiranya disenaraikan satu persatu, keburukan yang dibawa oleh dadah adalah sangat banyak. Oleh itu, penyalahgunaan dadah harus diatasi. Cara mengatasi yang utama ialah pendidikan mengenai bahaya dadah. Pendidikan ini kelak mengelakkan remaja terjerumus dalam dadah. Pendidikan patut dilakukan oleh ibu bapa dan guru.


Kempen kesedaran yang lebih berkesan haruslah diadakan dari masa ke masa oleh pihak kerajaan dan swasta. Pelbagai aktiviti hendaklah diadakan semasa kempen ini berlangung dan aktiviti itu hendaklah melibatkan kumpulan remaja yang sering menjadi sasaran mudah para penjual dadah.


Para penjual dadah sama ada pembekal atau pengedar pula hendaklah dijatuhi hukuman yang berat seperti gantung sampai mati. Hukuman yang diterima oleh mereka akan dapat membuka mata orang yang baru berjinak-jinak dengan dadah. Mereka akan berasa ngeri untuk melakukan perbuatan itu.


Kesimpulannya, dadah membawa banyak kesan buruk. Penyalahgunaan dadah juga berpunca daripada banyak faktor. Namun terdapat banyak cara untuk mengatasi penyalahgunaan ini. Kita haruslah terus memerangi dadah agar masyarakat kita tidak menjadi lemah.


ANDA akan mendapat A jika TERUS membaca!!

PEMANASAN GLOBAL

Pemanasan global merupakan satu fenomena alam yang menjadi isu antarabangsa. Hampir seluruh negara di dunia ini memperkatakan isu ini. Para pemimpin yang menghadiri persidangan alam sekitar berhubung isu pemanasan global di Bali dua tahun yang lalu sepakat untuk menggariskan langkah-langkah mengatasi pemanasan global.


Pemanasan global atau lebih dikenali sebagai global warming menyaksikan kenaikan suhu sejagat. Namun kejadian ini sebenarnya menimbulkan kesan yang berlainan di beberapa negara. Sebagai contoh terdapat kawasan yang mengalami suhu melampau dan ada pula yang mengalami penurunan suhu hingga menimbulkan musim sejuk yang terlalu sejuk seperti yang berlaku di utara Vietnam pada penghujung tahun 2007.


Selain itu, pemanasan global sebenarnya memberi kesan buruk kepada manusia. Pertambahan suhu boleh menyebabkan kekontangan di sebahagian tempat hingga berlaku masalah bekalan air atau kebakaran hutan yang dahsyat, manakala di Antartika dan Artik berlaku pencairan ais yang menyebabkan kenaikan paras laut. Bencana alam seperti taufan, dan gempa bumi juga akan berlaku dengan lebih kerap.


Pemanasan global sebenarnya berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia yang terlalu mengeksploitasi sumber bumi untuk pelbagai tujuan seperti pembangunan, pembalakan, pertanian, dan perindustrian. Penebangan pokok-pokok menyebabkan pengurangan sumber oksigen. Pelepasan pelbagai jenis gas seperti karbon dioksida, karbon monoksida, dan karbon klorofloro (CFC) menyebabkan bumi menjadi semakin panas.


Oleh yang demikian untuk mengatasi masalah pemanasan global, pembangunan yang dijalankan seharusnya mesra alam dan penggunaan barangan yang menghasilkan gas berbahaya harus dikurangkan. Manakala kawasan hutan yang telah dibuka haruslah ditanami pokok-pokok yang baru supaya penghasilan oksigen dapat ditingkatkan dan pada masa yang sama karbon dioksida dapat dikurangkan.


Di samping itu, pencemaran alam hendaklah diatasi. Pembuangan sampah sarap harus dikurangkan melalui kaedah kitar semula. Kitar semula bermakna barang terpakai diproses atau diubahsuai menjadi barangan yang baru. Dengan cara ini, sumber bahan tersebut tidak perlu diambil dari bumi ini. Sebagai contoh, aluminium atau besi tidak perlu dilombong lagi.


Kesimpulannya, sebagai manusia yang mendiami bumi ini, kita haruslah sedar bahawa bumi hanya satu. Bumi yang kita diami sekarang akan kita wariskan kepada anak cucu kita. Jika pemanasan global berterusan, kita akan mendapat kesan dan anak cucu kita pula akan hidup dalam dunia yang tidak sesuai lagi didiami oleh manusia. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengatasi masalah pemanasan global.


KOSA KATA
Cari makna perkataan di bawah.


1. fenomena alam
2. sepakat
3. sejagat
4. melampau
5. kekontangan
6. dahsyat
7. paras
8. mengeksploitasi
9. mesra alam
10. kaedah
11. wariskan


KUMPULAN A - baca dan terus baca!!! :-) KITA MESTI DAPAT A!!!

Wednesday 29 July 2009

MASA DEPAN PELAJAR LEMAH














Manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Terdapat manusia yang dianugerahi dengan otak yang sangat bijak dan tidak kurang pula mereka yang agak lembab. Manusia yang cerdik ini biasanya mempunyai pencapaian akademik yang tinggi, manakala yang lemah pula ketinggalan di belakang sehingga mereka dilihat sebagai tidak mempunyai masa depan yang cerah.

Sesungguhnya tanggapan negatif terhadap kumpulan yang lemah tidak harus dibiarkan berterusan dalam minda kita kerana walaupun tidak cerdas, mereka sebenarnya masih mempunyai kelebihan dan bakat masing-masing. Biasanya orang yang agak lemah dalam akademik mempunyai kemahiran tangan yang istimewa. Yang perlu dilakukan hanyalah mencari dan mengasah bakat mereka itu.

Untuk mengasah bakat yang dibekalkan oleh Allah swt, mereka seharusnya mencari minat mereka kerana minat yang mendalam biasanya membawa kepada penglibatan yang sungguh-sungguh hingga akhirnya bakat terpendam dapat diketengahkan kepada masyarakat. Antara kelebihan yang mungkin ada pada mereka ialah menyanyi, berlakon, melukis, menulis, memasak, menjahit, membaiki alat-alat, bertukang tangan, atau membuat barang-barang kraftangan.

Oleh itu, pelajar lemah dalam akademik tidak seharusnya berputus asa apabila tidak mendapat kejayaan yang cemerlang. Para pelajar harus berfikiran positif mengenai masa depan mereka. Para pelajar harus tahu bahawa mereka mampu mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan walaupun tidak mempunyai kelulusan yang tinggi.

Dalam hal ini, pihak sekolah sepatutnya membantu pelajar yang lemah melalui bimbingan kerjaya dan pameran kerjaya. Kedua-dua cara ini dapat memberi pengetahuan kepada para pelajar tentang kerjaya bergaji lumayan yang tidak memerlukan kelulusan tinggi. Pandangan negatif mereka terhadap pekerjaan yang memerlukan kemahiran tangan akan dapat ditepis sekiranya mereka tahu bahawa kerjaya seperti tukang masak mampu memberi mereka gaji yang melebihi gaji pegawai berjawatan tinggi.

Kerajaan juga seharusnya menyediakan lebih banyak sekolah vokasional supaya pelajar yang tidak mendapat tempat di kolej atau universiti boleh mempelajari kemahiran di sekolah atau kolej vokasional ini. Kemudahan dan guru-guru bertauliah dan berpengalaman haruslah disediakan supaya kemahiran yang diajarkan kepada para pelajar terjamin kualitinya.

Selain daripada itu, ibu bapa haruslah mengakui kenyataan bahawa bukan semua manusia itu mempunyai otak yang cerdas. Ibu bapa harus melihat minat dan kemahiran yang sedia ada dalam diri anak mereka. Seterusnya, mereka hendaklah memberi dorongan dan sokongan kepada anak itu untuk memasuki sekolah atau kolej vokasional.

Sesungguhnya setiap manusia dicipta oleh Allah swt dengan kekuatan dan kelemahan tersendiri. Oleh itu para pelajar yang lemah tidak seharusnya mudah berputus asa. Pencapaian rendah dalam akademik bukan tanda kegelapan pada masa depan, sebaliknya sebagai permulaan untuk para pelajar mempelajari kemahiran yang sentiasa diperlukan dalam dunia pekerjaan.

KOSA KATA
Cari makna perkataan dan frasa di bawah.
1. dianugerahi
2. lembab
3. mengasah
4. bakat terpendam
5. diketengahkan
6. lumayan
7. bimbingan
8. ditepis
9. bertauliah
10.mengakui kenyataan

BACA....TERUSKAN USAHA ...!

Sunday 26 July 2009

MASALAH PENYELUDUPAN HARAM

Penyeludupan haram membawa maksud membawa masuk atau keluar sesuatu barangan secara haram untuk tujuan mendapatkan untung daripada penjualan barang tersebut. Antara barang yang diseludup keluar dari negara Brunei Darussalam ialah diesel dan beras. Manakala barang yang diseludup masuk ialah minuman keras dan daging ayam atau lembu. Penyeludupan dilakukan melalui jalan darat dan air yang menghubungkan Malaysia dan Brunei Darussalam.


Penyeludupan berlaku disebabkan keghairahan manusia untuk mendapat wang yang banyak dengan cara yang mudah. Para penyeludup melihat kegiatan ini sebagai satu perniagaan yang menguntungkan. Mereka tidak perlu membayar sewa kedai yang mahal. Yang diperlukan hanyalah wang untuk membeli barang tersebut dan kenderaan untuk mengangkutnya.


Perbezaan harga barang yang tinggi di antara Malaysia dan Brunei juga mendorong individu yang tamak ini untuk menyeludup. Terdapat barang yang lebih murah di Brunei seperti diesel dijual dengan harga yang mahal di Malaysia. Perbezaan ini membolehkan penyeludup membawa diesel ke Malaysia untuk dijual dengan harga yang lebih rendah daripada harga biasa.


Penyeludupan minuman keras ke Brunei pula disebabkan ketiadaan penjualan minuman keras di negara ini. Arak yang dibawa dari Malaysia juga dapat dijual dengan harga yang tinggi. Bilangan peminum arak yang banyak di negara ini menyebabkan permintaan terhadap minuman tersebut sentiasa ada. Permintaan yang tinggi menyebabkan penyeludupan berlaku sepanjang masa.


Penguatkuasaan undang-undang yang terlalu longgar juga menyebabkan para penyeludup semakin berani dan berleluasa. Ketidakcekapan dan penerimaan rasuah memburukkan keadaan. Pihak kastam, polis dan imigresen yang menjaga sempadan seharusnya memeriksa setiap kenderaan dengan teliti. Ganjaran wang juga patut diberi kepada orang awam yang memberi maklumat hingga penangkapan penyeludup berjaya.


Sesungguhnya penyeludupan di negara ini semakin berleluasa, pihak kerajaan dan orang ramai harus bekerja sama dan berganding bahu untuk membenteras kegiatan yang membawa kesan buruk kepada sistem perdagangan dan ekonomi negara. Para penyeludup harus dikenakan hukuman yang berat seperti penjara dan bukan setakat didenda dengan wang.


KOSA KATA
Cari makna perkataan di bawah.
1. haram
2. keghairahan
3. menguntungkan
4. tamak
5. longgar
6. berleluasa
7. ganjaran
8. membanteras