Thursday, 30 July 2009

PEMANASAN GLOBAL

Pemanasan global merupakan satu fenomena alam yang menjadi isu antarabangsa. Hampir seluruh negara di dunia ini memperkatakan isu ini. Para pemimpin yang menghadiri persidangan alam sekitar berhubung isu pemanasan global di Bali dua tahun yang lalu sepakat untuk menggariskan langkah-langkah mengatasi pemanasan global.


Pemanasan global atau lebih dikenali sebagai global warming menyaksikan kenaikan suhu sejagat. Namun kejadian ini sebenarnya menimbulkan kesan yang berlainan di beberapa negara. Sebagai contoh terdapat kawasan yang mengalami suhu melampau dan ada pula yang mengalami penurunan suhu hingga menimbulkan musim sejuk yang terlalu sejuk seperti yang berlaku di utara Vietnam pada penghujung tahun 2007.


Selain itu, pemanasan global sebenarnya memberi kesan buruk kepada manusia. Pertambahan suhu boleh menyebabkan kekontangan di sebahagian tempat hingga berlaku masalah bekalan air atau kebakaran hutan yang dahsyat, manakala di Antartika dan Artik berlaku pencairan ais yang menyebabkan kenaikan paras laut. Bencana alam seperti taufan, dan gempa bumi juga akan berlaku dengan lebih kerap.


Pemanasan global sebenarnya berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia yang terlalu mengeksploitasi sumber bumi untuk pelbagai tujuan seperti pembangunan, pembalakan, pertanian, dan perindustrian. Penebangan pokok-pokok menyebabkan pengurangan sumber oksigen. Pelepasan pelbagai jenis gas seperti karbon dioksida, karbon monoksida, dan karbon klorofloro (CFC) menyebabkan bumi menjadi semakin panas.


Oleh yang demikian untuk mengatasi masalah pemanasan global, pembangunan yang dijalankan seharusnya mesra alam dan penggunaan barangan yang menghasilkan gas berbahaya harus dikurangkan. Manakala kawasan hutan yang telah dibuka haruslah ditanami pokok-pokok yang baru supaya penghasilan oksigen dapat ditingkatkan dan pada masa yang sama karbon dioksida dapat dikurangkan.


Di samping itu, pencemaran alam hendaklah diatasi. Pembuangan sampah sarap harus dikurangkan melalui kaedah kitar semula. Kitar semula bermakna barang terpakai diproses atau diubahsuai menjadi barangan yang baru. Dengan cara ini, sumber bahan tersebut tidak perlu diambil dari bumi ini. Sebagai contoh, aluminium atau besi tidak perlu dilombong lagi.


Kesimpulannya, sebagai manusia yang mendiami bumi ini, kita haruslah sedar bahawa bumi hanya satu. Bumi yang kita diami sekarang akan kita wariskan kepada anak cucu kita. Jika pemanasan global berterusan, kita akan mendapat kesan dan anak cucu kita pula akan hidup dalam dunia yang tidak sesuai lagi didiami oleh manusia. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengatasi masalah pemanasan global.


KOSA KATA
Cari makna perkataan di bawah.


1. fenomena alam
2. sepakat
3. sejagat
4. melampau
5. kekontangan
6. dahsyat
7. paras
8. mengeksploitasi
9. mesra alam
10. kaedah
11. wariskan


KUMPULAN A - baca dan terus baca!!! :-) KITA MESTI DAPAT A!!!

1 comment: