Manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Terdapat manusia yang dianugerahi dengan otak yang sangat bijak dan tidak kurang pula mereka yang agak lembab. Manusia yang cerdik ini biasanya mempunyai pencapaian akademik yang tinggi, manakala yang lemah pula ketinggalan di belakang sehingga mereka dilihat sebagai tidak mempunyai masa depan yang cerah.
Sesungguhnya tanggapan negatif terhadap kumpulan yang lemah tidak harus dibiarkan berterusan dalam minda kita kerana walaupun tidak cerdas, mereka sebenarnya masih mempunyai kelebihan dan bakat masing-masing. Biasanya orang yang agak lemah dalam akademik mempunyai kemahiran tangan yang istimewa. Yang perlu dilakukan hanyalah mencari dan mengasah bakat mereka itu.
Untuk mengasah bakat yang dibekalkan oleh Allah swt, mereka seharusnya mencari minat mereka kerana minat yang mendalam biasanya membawa kepada penglibatan yang sungguh-sungguh hingga akhirnya bakat terpendam dapat diketengahkan kepada masyarakat. Antara kelebihan yang mungkin ada pada mereka ialah menyanyi, berlakon, melukis, menulis, memasak, menjahit, membaiki alat-alat, bertukang tangan, atau membuat barang-barang kraftangan.
Oleh itu, pelajar lemah dalam akademik tidak seharusnya berputus asa apabila tidak mendapat kejayaan yang cemerlang. Para pelajar harus berfikiran positif mengenai masa depan mereka. Para pelajar harus tahu bahawa mereka mampu mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan walaupun tidak mempunyai kelulusan yang tinggi.
Dalam hal ini, pihak sekolah sepatutnya membantu pelajar yang lemah melalui bimbingan kerjaya dan pameran kerjaya. Kedua-dua cara ini dapat memberi pengetahuan kepada para pelajar tentang kerjaya bergaji lumayan yang tidak memerlukan kelulusan tinggi. Pandangan negatif mereka terhadap pekerjaan yang memerlukan kemahiran tangan akan dapat ditepis sekiranya mereka tahu bahawa kerjaya seperti tukang masak mampu memberi mereka gaji yang melebihi gaji pegawai berjawatan tinggi.
Kerajaan juga seharusnya menyediakan lebih banyak sekolah vokasional supaya pelajar yang tidak mendapat tempat di kolej atau universiti boleh mempelajari kemahiran di sekolah atau kolej vokasional ini. Kemudahan dan guru-guru bertauliah dan berpengalaman haruslah disediakan supaya kemahiran yang diajarkan kepada para pelajar terjamin kualitinya.
Selain daripada itu, ibu bapa haruslah mengakui kenyataan bahawa bukan semua manusia itu mempunyai otak yang cerdas. Ibu bapa harus melihat minat dan kemahiran yang sedia ada dalam diri anak mereka. Seterusnya, mereka hendaklah memberi dorongan dan sokongan kepada anak itu untuk memasuki sekolah atau kolej vokasional.
Sesungguhnya setiap manusia dicipta oleh Allah swt dengan kekuatan dan kelemahan tersendiri. Oleh itu para pelajar yang lemah tidak seharusnya mudah berputus asa. Pencapaian rendah dalam akademik bukan tanda kegelapan pada masa depan, sebaliknya sebagai permulaan untuk para pelajar mempelajari kemahiran yang sentiasa diperlukan dalam dunia pekerjaan.
KOSA KATA
Cari makna perkataan dan frasa di bawah.
1. dianugerahi
2. lembab
3. mengasah
4. bakat terpendam
5. diketengahkan
6. lumayan
7. bimbingan
8. ditepis
9. bertauliah
10.mengakui kenyataan
BACA....TERUSKAN USAHA ...!
No comments:
Post a Comment