Friday, 17 July 2009

PENGGUNAAN KAD KREDIT


Semua bank di negara ini menawarkan kemudahan kad kredit kepada para penyimpan wang di bank mereka. Terdapat pelbagai jenis kad kredit yang terkenal seperti Master Card, Visa Card, dan American Express. Terdapat banyak pelanggan bank yang mempunyai kad kredit kerana berfikir kad kredit adalah suatu keperluan dan dapat memudahkan hidup mereka. Kad kredit sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukan.

Kebaikan kad kredit yang utama ialah kita boleh menggunakan kad kredit apabila kita tidak mempunyai wang pada masa kecemasan. Dengan adanya kad kredit, kita boleh mengambil wang dari mesin wang automatik untuk digunakan. Andaikata kita tinggal jauh daripada keluarga kita yang mengalami kemalangan atau sakit tenat, kad kredit boleh digunakan untuk membeli tiket penerbangan melalui internet.

Selain itu, kad kredit juga bertindak seperti wang tunai yang boleh digunakan untuk membeli apa-apa barang yang dikehendaki atau diperlukan. Apabila kita menggunakan kad kredit, kita hanya perlu menyerahkan kad kredit kepada juruwang dan menandatangani resit pembelian. Kita tidak perlu membawa wang tunai dan hanya perlu membayar jumlah minima bagi wang yang telah digunakan.

Walau bagaimanapun, penggunaan kad kredit juga mempunyai keburukannya. Kad kredit boleh menyebabkan seseorang berbelanja lebih daripada kemampuan mereka. Hal ini menggalakkan sikap boros yang sudah semestinya akan menyusahkan kita pada masa kelak kerana kita lebih banyak berbelanja daripada menyimpan.

Di samping itu, kad kredit juga menyebabkan seseorang itu menanggung hutang yang banyak di bank. Hal ini berlaku kerana bank yang mengeluarkan kad kredit itu akan mengenakan bunga ke atas wang yang telah dibelanjakan jika wang itu tidak dibayar pada masa yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya, kad kredit mestilah digunakan dengan bijak. Sekiranya kita terlalu menurut hati semasa menggunakan kad kredit, akhirnya kita akan menanggung kesusahan. Kita juga harus merancang perbelanjaan kita supaya tidak terlebih berbelanja.

BUNGA = bunga (tumbuhan) , kadar faedah wang (pinjaman)




No comments:

Post a Comment