Sunday 26 July 2009

BENCANA ALAM DI BRUNEI

Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang amat bertuah kerana terhindar daripada bencana alam yang dahsyat seperti Tsunami, letupan gunung berapi, dan gempa bumi. Walau bagaimanapun, negara ini masih mengalami beberapa fenomena alam yang turut membawa kesan buruk kepada manusia iaitu banjir kilat dan tanah runtuh.

Pada tahun 2008, banyak penduduk Brunei yang tinggal di kawasan rendah dan rata dilanda banjir kilat. Banjir kilat ialah banjir yang berlaku akibat hujan lebat selama satu atau dua jam. Sebab utama banjir ini berlaku ialah air hujan yang turun tidak dapat dialirkan ke laut dengan segera akibat sistem perparitan yang tidak baik. Ini mengakibatkan air hujan bertakung dan melimpah ke kawasan perumahan dan jalan raya.

Tanah runtuh pula berlaku di lereng bukit. Permukaan tanah bukit yang longgar menyebabkan air hujan meresap masuk ke dalam tanah, melonggarkan lagi tanah tersebut, lalu meruntuhkan tanah yang telah dilonggarkan. Hakisan boleh berlaku secara besar-besaran atau secara perlahan. Tanah runtuh menyebabkan kerosakan terhadap rumah atau bangunan yang dibina berhampiran lereng bukit.

Kejadian tanah runtuh dan banjir kilat membawa kesan buruk kepada manusia. Kecederaan, dan kerosakan harta benda banyak dilaporkan akibat kejadian ini. Malah pada tahun lepas iaitu tahun 2008, negara Brunei mencatatkan satu kematian akibat tanah runtuh di Kota Batu dan satu kematian akibat banjir kilat.

Oleh sebab itu, kita harus berusaha mencari jalan untuk mengatasi masalah banjir kilat dan tanah runtuh. Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan. Antaranya ialah pihak kerajaan seharusnya membesarkan parit dan longkang yang ada supaya dapat mengalirkan air hujan dengan segera. Longkang dan parit yang tersumbat oleh rumput dan sampah-sarap juga harus dibersihkan.

Selain itu, penduduk hendaklah sedar akan risiko membina rumah di kawasan lereng bukit. Hutan di kawasan bukit juga hendaklah dikekalkan. Sebarang aktiviti menebang pokok hendaklah dielakkan. Hal ini penting supaya akar yang menguatkan tanah dapat dikekalkan. Sekiranya kawasan berhampiran bukit perlu dibuka untuk tujuan pembinaan bangunan atau rumah, benteng konkrit hendaklah dibina untuk sebagai pertahanan daripada tanah runtuh.

Kesimpulannya, banjir kilat dan tanah runtuh merupakan dua fenomena alam yang masih boleh dielakkan jika kita mengambil langkah-langkah awal untuk mengelak dan mengatasinya. Pihak kerajaan dan orang ramai hendaklah bekerja sama supaya kejadian seumpamanya tidak lagi berlaku di Brunei.

1 comment:

  1. $$$ GENUINE LOAN WITH LOW INTEREST RATE APPLY $$$
    Do you need finance to start up your own business or expand your business, Do you need funds to pay off your debt? We give out loan to interested individuals and company's who are seeking loan with good faith. Are you seriously in need of an urgent loan contact us.

    Email: shadiraaliuloancompany1@gmail.com
    Phone No: +919873186890.

    ReplyDelete