Friday, 17 July 2009
KEJAYAAN DI TANGAN PELAJAR
Berjaya dalam akademik adalah matlamat utama ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ibu bapa sanggup berkorban masa, tenaga, dan wang dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik kerana mereka sedar bahawa pencapaian akademik yang baik menjanjikan masa depan yang cerah kepada anak-anak. Namun, berjaya atau tidak seseorang pelajar banyak bergantung kepada pelajar itu sendiri.
Sekiranya seseorang pelajar itu sedar akan kepentingan pelajaran kepada dirinya pada masa depan, pelajar tersebut sudah semestinya akan bertungkus lumus tanpa mengenal penat lelah untuk belajar semua topik yang terdapat sukatan pelajaran. Mereka yang bersikap rajin dan gigih ini biasanya mempunyai jadual waktu belajar semasa di rumah supaya masa yang tidak ternilai harganya dapat digunakan dengan baik.
Selain itu, pelajar yang ingin berjaya mempunyai sikap positif semasa berada dalam kelas seperti menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar dan bukannya berbual-bual dengan kawan, bertanya guru sekiranya tidak memahami topik yang diajarkan, dan menyiapkan latihan yang diberi oleh guru. Mereka juga akan mengadakan kumpulan perbincangan dengan kawan-kawan untuk bertukar-tukar pendapat.
Di samping itu, pelajar yang hendak berjaya juga akan mengulang kaji pelajaran yang telah dipelajari dalam kelas, dan menjawab soalan-soalan peperiksaan pada tahun sebelumnya. Masa yang digunakan untuk perkara-perkara yang melekakan seperti melayari internet untuk bermain permainan komputer atau untuk bersembang dengan kawan-kawan dikurangkan.
Oleh yang demikian para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan seharusnya meneliti diri mereka sama ada mereka termasuk dalam kumpulan pelajar yang akan berjaya atau sebaliiknya. Sekiranya mereka mempunyai sikap dan amalan yang akan membawa mereka ke arah kegagalan, mereka harus berusaha untuk berubah. Mereka harus sedar bahawa kejayaan pelajar itu bukan bergantung kepada guru tetapi kepada diri mereka sendiri.
PERHATIAN :
Sebagai latihan, cuba berikan makna setiap perkataan dan frasa yang telah dimerahkan.
SELAMAT MALAM..:-)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment