Thursday, 30 July 2009
PUNCA PENYALAHGUNAAN DADAH DAN CARA MENGATASINYA
Penyalahgunaan dadah bukan perkara baru di dunia ini. Masalah ini telah berlaku sejak ratusan tahun lalu. Sebenarnya, dadah yang menjadi ubat penahan sakit sebenarnya tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan. Masalah timbul apabila manusia menyalahgunakannya untuk kepuasan dan keseronokan diri mereka. Antara dadah yang terdapat di dunia ini ialah heroin, marijuana, morfin, ganja, dan syabu.
Banyak negara menjadikan dadah sebagai musuh utama negara. Hal ini disebabkan penyalahgunaan dadah mengakibatkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Seorang penagih dadah yang hidup dalam ketagihan boleh mengakibatkan masalah jenayah seperti mencuri atau merompak semata-mata untuk mendapatkan wang supaya dapat membeli dadah. Mereka yang tidak dapat diselamatkan daripada ketagihan juga akan menjadi sampah masyarakat. Malah ada yang menjadi tidak siuman.
Penyalahgunaan dadah sebenarnya berpunca daripada pelbagai faktor. Faktor pertama ialah keinginan mencuba sesuatu perkara yang baru. Keinginan ini akan menjadi teruk sekiranya seseorang itu bergaul dengan penagih kerana mereka boleh terpengaruh dan mudah pula untuk mereka mendapatkan bekalan dadah.
Selain itu, tekanan yang dialami akibat masalah peribadi, keluarga dan kerja turut mendorong seseorang itu untuk menyalahgunakan dadah. Apabila tekanan emosi keterlaluan, kemurungan berlaku hingga mereka tidak mampu lagi berdepan dengan tekanan itu. Akhirnya dadah menjadi teman setia yang dapat membolehkan mereka lupa kepada tekanan yang dihadapi.
Penyalahgunaan juga disebabkan oleh kurangnya kesedaran terhadap kesan buruk yang akan menimpa mereka yang ketagih dadah. Sudah pasti banyak remaja yang tercicir dari sekolah atau yang berasal dari luar bandar tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang kesan buruk dadah. Oleh itu, apabila mereka telah merasai nikmat dadah, mereka beranggapan tiada apa-apa yang akan berlaku kepada mereka.
Sekiranya disenaraikan satu persatu, keburukan yang dibawa oleh dadah adalah sangat banyak. Oleh itu, penyalahgunaan dadah harus diatasi. Cara mengatasi yang utama ialah pendidikan mengenai bahaya dadah. Pendidikan ini kelak mengelakkan remaja terjerumus dalam dadah. Pendidikan patut dilakukan oleh ibu bapa dan guru.
Kempen kesedaran yang lebih berkesan haruslah diadakan dari masa ke masa oleh pihak kerajaan dan swasta. Pelbagai aktiviti hendaklah diadakan semasa kempen ini berlangung dan aktiviti itu hendaklah melibatkan kumpulan remaja yang sering menjadi sasaran mudah para penjual dadah.
Para penjual dadah sama ada pembekal atau pengedar pula hendaklah dijatuhi hukuman yang berat seperti gantung sampai mati. Hukuman yang diterima oleh mereka akan dapat membuka mata orang yang baru berjinak-jinak dengan dadah. Mereka akan berasa ngeri untuk melakukan perbuatan itu.
Kesimpulannya, dadah membawa banyak kesan buruk. Penyalahgunaan dadah juga berpunca daripada banyak faktor. Namun terdapat banyak cara untuk mengatasi penyalahgunaan ini. Kita haruslah terus memerangi dadah agar masyarakat kita tidak menjadi lemah.
ANDA akan mendapat A jika TERUS membaca!!
PEMANASAN GLOBAL
Pemanasan global atau lebih dikenali sebagai global warming menyaksikan kenaikan suhu sejagat. Namun kejadian ini sebenarnya menimbulkan kesan yang berlainan di beberapa negara. Sebagai contoh terdapat kawasan yang mengalami suhu melampau dan ada pula yang mengalami penurunan suhu hingga menimbulkan musim sejuk yang terlalu sejuk seperti yang berlaku di utara Vietnam pada penghujung tahun 2007.
Selain itu, pemanasan global sebenarnya memberi kesan buruk kepada manusia. Pertambahan suhu boleh menyebabkan kekontangan di sebahagian tempat hingga berlaku masalah bekalan air atau kebakaran hutan yang dahsyat, manakala di Antartika dan Artik berlaku pencairan ais yang menyebabkan kenaikan paras laut. Bencana alam seperti taufan, dan gempa bumi juga akan berlaku dengan lebih kerap.
Pemanasan global sebenarnya berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia yang terlalu mengeksploitasi sumber bumi untuk pelbagai tujuan seperti pembangunan, pembalakan, pertanian, dan perindustrian. Penebangan pokok-pokok menyebabkan pengurangan sumber oksigen. Pelepasan pelbagai jenis gas seperti karbon dioksida, karbon monoksida, dan karbon klorofloro (CFC) menyebabkan bumi menjadi semakin panas.
Oleh yang demikian untuk mengatasi masalah pemanasan global, pembangunan yang dijalankan seharusnya mesra alam dan penggunaan barangan yang menghasilkan gas berbahaya harus dikurangkan. Manakala kawasan hutan yang telah dibuka haruslah ditanami pokok-pokok yang baru supaya penghasilan oksigen dapat ditingkatkan dan pada masa yang sama karbon dioksida dapat dikurangkan.
Di samping itu, pencemaran alam hendaklah diatasi. Pembuangan sampah sarap harus dikurangkan melalui kaedah kitar semula. Kitar semula bermakna barang terpakai diproses atau diubahsuai menjadi barangan yang baru. Dengan cara ini, sumber bahan tersebut tidak perlu diambil dari bumi ini. Sebagai contoh, aluminium atau besi tidak perlu dilombong lagi.
Kesimpulannya, sebagai manusia yang mendiami bumi ini, kita haruslah sedar bahawa bumi hanya satu. Bumi yang kita diami sekarang akan kita wariskan kepada anak cucu kita. Jika pemanasan global berterusan, kita akan mendapat kesan dan anak cucu kita pula akan hidup dalam dunia yang tidak sesuai lagi didiami oleh manusia. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengatasi masalah pemanasan global.
KOSA KATA
Cari makna perkataan di bawah.
1. fenomena alam
2. sepakat
3. sejagat
4. melampau
5. kekontangan
6. dahsyat
7. paras
8. mengeksploitasi
9. mesra alam
10. kaedah
11. wariskan
KUMPULAN A - baca dan terus baca!!! :-) KITA MESTI DAPAT A!!!
Wednesday, 29 July 2009
MASA DEPAN PELAJAR LEMAH
Manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Terdapat manusia yang dianugerahi dengan otak yang sangat bijak dan tidak kurang pula mereka yang agak lembab. Manusia yang cerdik ini biasanya mempunyai pencapaian akademik yang tinggi, manakala yang lemah pula ketinggalan di belakang sehingga mereka dilihat sebagai tidak mempunyai masa depan yang cerah.
Sunday, 26 July 2009
MASALAH PENYELUDUPAN HARAM
Penyeludupan berlaku disebabkan keghairahan manusia untuk mendapat wang yang banyak dengan cara yang mudah. Para penyeludup melihat kegiatan ini sebagai satu perniagaan yang menguntungkan. Mereka tidak perlu membayar sewa kedai yang mahal. Yang diperlukan hanyalah wang untuk membeli barang tersebut dan kenderaan untuk mengangkutnya.
Perbezaan harga barang yang tinggi di antara Malaysia dan Brunei juga mendorong individu yang tamak ini untuk menyeludup. Terdapat barang yang lebih murah di Brunei seperti diesel dijual dengan harga yang mahal di Malaysia. Perbezaan ini membolehkan penyeludup membawa diesel ke Malaysia untuk dijual dengan harga yang lebih rendah daripada harga biasa.
Penyeludupan minuman keras ke Brunei pula disebabkan ketiadaan penjualan minuman keras di negara ini. Arak yang dibawa dari Malaysia juga dapat dijual dengan harga yang tinggi. Bilangan peminum arak yang banyak di negara ini menyebabkan permintaan terhadap minuman tersebut sentiasa ada. Permintaan yang tinggi menyebabkan penyeludupan berlaku sepanjang masa.
Penguatkuasaan undang-undang yang terlalu longgar juga menyebabkan para penyeludup semakin berani dan berleluasa. Ketidakcekapan dan penerimaan rasuah memburukkan keadaan. Pihak kastam, polis dan imigresen yang menjaga sempadan seharusnya memeriksa setiap kenderaan dengan teliti. Ganjaran wang juga patut diberi kepada orang awam yang memberi maklumat hingga penangkapan penyeludup berjaya.
Sesungguhnya penyeludupan di negara ini semakin berleluasa, pihak kerajaan dan orang ramai harus bekerja sama dan berganding bahu untuk membenteras kegiatan yang membawa kesan buruk kepada sistem perdagangan dan ekonomi negara. Para penyeludup harus dikenakan hukuman yang berat seperti penjara dan bukan setakat didenda dengan wang.
KOSA KATA
Cari makna perkataan di bawah.
1. haram
2. keghairahan
3. menguntungkan
4. tamak
5. longgar
6. berleluasa
7. ganjaran
8. membanteras
BENCANA ALAM DI BRUNEI
Thursday, 23 July 2009
MAKNA PERKATAAN BERAPITAN MEN...KAN
(a) menjadikan objek sebagai yang tersebut pada kata dasar.
Contohnya:
mencalonkan (seseorang) = menjadikan seseorang sebagai calon
(b) memasukkan objek ke dalam sesuatu yang tersebut pada kata dasar.
Contohnya:
mengandangkan (lembu) = memasukkan lembu ke dalam kandang
(c) membawa objek ke tempat yang tersebut pada kata dasar.
Contohnya:
mendaratkan = membawa ke darat
2.Jika kata dasarnya kata bilangan, maka makna akhiran -kan pada kata yang berapitan men...kan ialah menjadikan sebanyak bilangan yang tersebut pada kata dasar itu.
Contohnya:
menyatukan = menjadikan satu
3.Jika kata dasarnya kata nama atau kata kerja dasar, makna -kan pada kata yang berapitan men...kan ialahmenyebabkan objek berlaku seperti yang tersebut pada kata dasar yang disertai awalan ber-.
Contohnya:
mendirikan = menyebabkan berdiri
4.Jika kata dasarnya kata kerja dasar , maka makna akhiran -kan pada kata yang berapitan men...kan ialah:
(a) melakukan perbuatan untuk seseorang yang menjadi objek.
Contohnya:
mengambilkan (ibu) = mengambilkan untuk ibu
(b) menjadikan objek berlaku seperti yang tersebut pada kata dasar yang disertai awalan ber-, atau men-, atau ter-.
Contohnya:
menghubungkan =menjadikan berhubung.
(c) menggunakan objek sebagai alat untuk melakukan perbuatan seperti yang tersebut pada kata dasar.
Contohnya;
memukulkan (tongkat) =menggunakan tongkat untuk memukul
5. Jika kata dasarnya kata kerja tak transitif maka makna -kan pada kata yang berapitan men...kan ialah:
(a) menyebabkan objek berlaku seperti yang tersebut pada kata dasar.
Contohnya:
menghilangkan =menyebabkan hilang
(b) membawa objek bersama-sama dengan perbuatan seperti yang tersebut pada kata dasar.
Contohnya:
melarikan =membawa lari
6. Jika kata dasarnya kata adjektif, maka makna akhiran -kan pada kata yang berapitan men...kan ialah:
(a) menyebabkan objek jadi seperti yang tersebut pada kata dasar.
Contohnya:
membanggakan =menyebabkan jadi bangga
(b) menganggap objek seperti yang tersebut pada kata dasar.
contohnya:
membenarkan =menganggap besar
7. Jika kata dasarnya frasa sendi, maka makna -kan pada kata yang berapitan men...kan ialah membawa objek ke tempat yang tersebut pada kata dasar.
Contohnya:
mengeluarkan =membawa keluar
APITAN MEN...KAN
Contohnya: meng.abai.kan, mem.betul.kan, men.cari.kan, meng.hadiah.kan, me.lupa.kan, dan sebagainya.
2.Awalan men- dapat berubah bentuknya menjadi me-, atau mem-, atau meng-, atau menge-
3.Apitan men...kan bertugas untuk membentuk kata kerja transitif daripada kata-kata atau frasa-frasa lain dalam pelbagai kelas.
4.Awalan men- pada apitan men...kan bertugas sebagai penanda ayat aktif.
5.Akhiran -kan pada apitan men...kan bertugas untuk membentuk kata kerja transitif.
6.Akhiran -kan pada apitan men...kan bertugas sebagai ganti kata sendi akan, atau dengan, atau kepada, atau tentang, atau terhadap yang menyertai kata adjektif sebelum diberi apitan.
Contohnya:
membanggakan = bangga akan/dengan
merindukan = rindu akan/kepada
merisaukan = risau akan/ tentang
7.Akhiran kan- pada apitan men...kan dapat bertugas sebagai ganti kata sendi akan atau ten-tang yang menyertai kata kerja tak transitif.
Contoh:
memikirkan = berfikir tentang
mengkhayalkan = berkhayal tentang
melupakan = lupa akan
Ditaip oleh,
Kenny Teo.
hehehe...cikgu terlalu penat untuk menaiplah...!! :-)) BACA!!!!
Wednesday, 22 July 2009
MARI BELAJAR PERKATAAN BARU!!!
Bas yang dinaiki oleh para pelakon dari Malaysia itu kami serbu untuk mendapatkan tanda tangan pelakon yang kami minati.
2. MENYERBU - menyerang , merempuh, meluru
Selesai sahaja imam memberi salam, anak-anak muda itu menyerbu keluar dari masjid itu.
3. SERBUAN - hasil menyerbu, serangan
Penjahat yang licik itu dapat melepaskan diri daripada serbuan polis.
4. PENYERBU - orang yang menyerbu
Aku berharap penyerbu itu mempunyai rasa kasihan kepada nenek aku yang lumpuh itu.
5. SESAK - tidak lapang, sempit, terlalu penuh
Feri ke Pulau Labuan sesak pada masa cuti perayaan.
6. BERSESAK-SESAK - berhimpit-himpit, bersempit-sempit
Para penonton perlawanan boleh sepak itu bersesak-sesak keluar dari stadium selepas perlawanan tamat.
7. MENYESAKKAN - menyebabkan sesak, menyempitkan
Udara terkurung dan lembap di dalam bilik yang kecil itu menyesakkan hidung mereka.
8. KESESAKAN - perihal sesak, kesempitan, kesukaran
Kesesakan lalu lintas sering menyebabkan pengguna hilang kesabaran.
9. LESTARI - kekal, tetap, tidak berubah
Kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak mereka adalah lestari.
10. MELESTARIKAN - menetapkan, mengekalkan
Kita harus berusaha melestarikan budaya dan adat istiadat unik masyarakat.
11. KELESTARIAN - keadaan yang tidak berubah, keaslian
Kelestarian hutan dara di negara kita mesti diutamakan.
12. PELESTARIAN - perlindungan daripada kemusnahan
Pelestarian hutan dara di negara ini akan mengelakkan kemusnahan flora dan fauna.
Sumber : Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur, Edisi Ketiga.
KARANGAN DIALOG / WAWANCARA
2.Kedua-dua karangan melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak.
3.Perbezaan dialog dan wawancara;
a) Dialog
i.Kedua-dua oihak bebas bertanya dan memberi pendapat.
ii.Aksi watak boleh dimuatkan dalam karangan. Aksi tersebut ditulis
dalam kurungan (..........).
iii.Suasana tidak/ kurang formal.
b) Wawancara
i .Orang yang mewawancara bertanya dan yang diwawancara
menjawab pertanyaan.
ii. Aksi watak tidak boleh diselitkan/ dimasukkan.
iii. Suasana adalah formal.
4. Format khusus karangan ini adalah seperti berikut.
a) Pendahuluan - ditulis seperti permulaan perenggan biasa.
b) Nama penutur- ditulis di sebelah kiri dan sejajar. Hanya huruf awal
pada nama penutur ditulis dengan huruf besar dan diakhiri dengan
tanda noktah bertindih (:)
c) Isi atau butir-butir dialog - ditulis sejajar.
d) Penutup - ditulis dalam bentuk perenggan biasa, tetapi baris
pertamanya sejajar dengan nama penutur.
CONTOH....esok cikgu poskan. SELAMAT MALAM anak-anak muridku!
KATA SENDI
2. Kata sendi memerlukan frasa nama untuk membentuk frasa sendi supaya dapat bertugas sebagai predikat ayat.
3. Kata sendi yang paling banyak digunakan adalah seperti berikut;
a) dari = digunakan untuk masa dan tempat.
b) di = digunakan untuk tempat
c) ke = digunakan untuk tempat, masa, benda konkrit tidak bernyawa.
d) akan/kepada/ terhadap = digunakan selepas kata adjektif yang menyatakan perasaan atau sikap.
e) bagi/untuk = digunakan untuk menentukan sesuatu yang dibezakan daripada yang lain.
f) daripada = digunakan untuk orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, pertentangan, dan menunjukkan keanggotaan.
g) tentang = digunakan untuk menyatakan makna berkenaan dengan
<br>
h) sejak = untuk menyatakan makna bermula dari sesuatu masa tertentu
i) oleh = digunakan selepas kata kerja pasif yang berawal di- dan ter-.
4. Kata sendi yang lain ialah dengan , hingga/sampai, kepada, pada, sebagai, dan seperti.
BERI PERHATIAN :
Pastikan anda tahu penggunaan setiap kata sendi. Topik ini boleh ditanya dalam bentuk mencari kesalahan dalam ayat.
RISIKO MEROKOK
Keputusan kerajaan ini didorong oleh kesedaran bahawa rokok boleh memudaratkan kesihatan manusia. Rokok diumpamakan racun yang membawa kepada perbuatan membunuh diri. Rokok boleh menyebabkan manusia mengalami penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas, batuk berkahak, dan memberi kesan buruk kepada jantung.
Bagi kaum wanita pula, risiko untuk mengalami penyakit kronik adalah lebih tinggi. Misalnya penyakit barah pangkal rahim yang boleh menjejaskan janin yang dikandung. Janin yang sedang membesar dalam rahim seseorang wanita berkemungkinan mengalami kecacatan, lahir dalam keadaan tidak cukup bulan atau gugur.
Selain daripada itu, merokok boleh menyebabkan ketagihan dan mendorong kepada penyalahgunaan dadah. Penagih dadah terjebak ke lembah najis dadah apabila mengamalkan tabiat merokok. Kandungan nikotin dalam rokok adalah punca ketagihan. Apabila rokok tidak dapat lagi memuaskan ketagihan, dadah akan menjadi pilihan mereka.
Di samping itu, pembaziran wang boleh berlaku apabila manusia merokok. Banyak wang yang dibelanjakan untuk membeli rokok setiap hari. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu merokok sepuluh batang setiap hari dan harga sebatang 50 sen, sebanyak B$5.00 dihabiskan untuk membeli rokok. Bukankah lebih baik kalau kita gunakan wang itu untuk benda yang lebih berfaedah dan menyihatkan?
Sememangnya merokok merupakan tabiat yang buruk dan harus dielakkan atau dihapuskan. Langkah kerajaan mengharamkan rokok sepatutnya diberi pujian kerana hal ini dapat mengurangkan jumlah kematian akibat tabiat merokok.
Tuesday, 21 July 2009
PERIBAHASA (AYAM)
maknanya : masih muda, belum cukup umur
2. Bagai ayam naik ke surau
maknanya : Naik atau pergi ke rumah orang yang tidak menghidangkan apa-apa makanan.
3. Ayam bertelur di atas padi
maknanya : hidup dalam keadaan senang
4. bagai ayam disambar helang
maknanya : mati serta-merta tanpa merasa sakit atau hilang dalam sekelip mata
5. seperti ayam makan rumput
maknanya : hidup dalam keadaan melarat (miskin) atau susah
6. Seekor ayam tak berkokok, hari tak siangkah?
maknanya : orang yang pandai bukan seorang
7. Ayam tak patuk, itik tak sudu
maknanya : dalam keadaan yang hina
8. Bagai ayam dimakan tungau
maknanya : pucat dan kurus kerana penyakit
9. Umpama ayam menetaskan telur itik, anaknya itu ke air juga
maknanya : perangai yang diwarisi daripada baka (keturunan) tidak dapat dihapuskan.
10.Meneka ayam dalam telur
maknanya : membuat kerja sia-sia atau kerja yang sudah diketahui keputusannya.
Maafkan cikgu, komputer cikgu bermasalah sedikit selama beberapa hari, sebab itu baru hari ini dapat poskan topik baru. Selamat belajar. 21 Julai 2009
Friday, 17 July 2009
PENGGUNAAN KAD KREDIT
KATA MAJMUK
yang padu dan sebati maknanya.
2. Setiap kata yang menjadi komponen kata majmuk mempunyai maknanya sendiri-sendiri
tetapi apabila digabungkan mempunyai makna yang berlainan.
contoh = air dan mata -> air mata (air yang meleleh dari mata ketika menangis).
3. Terdapat juga kata majmuk daripada perkataan yang hampir sama maknanya.
contoh = cantik dan jelita -> cantik jelita (sangat cantik)
hancur dan lebur -> hancur lebur (hancur sama sekali)
sunyi dan sepi -> sunyi sepi (sangat sunyi)
4. Ada juga kata majmuk yang dieja tercantum dan terpisah tetapi tiada yang bersempang(-).
contoh tercantum =jurumudi , bumiputera, apabila
contoh terpisah = buah pinggang, ganti rugi, daun pintu
5. Dari segi bentuknya, kata majmuk terbahagi kepada beberapa kelas seperti berikut;
a. kata nama majmuk = cita rasa, hak cipta, daun telinga
b. kata bilangan majmuk = dua puluh, tiga perempat
c. kata adjektif majmuk = aman damai, buta huruf, gagah perkasa, kelam kabut
d. kata kerja majmuk = buang air, campur tangan, membanting tulang,
e. kata sendi majmuk = daripada, darihal (jumlahnya tidak banyak)
f. kata keterangan majmuk = acap kali, boleh jadi, lambat laun
g. kata hubung majmuk = apabila, manakala, meskipun, walaupun
6. Dari segi maknanya, kata majmuk dapat dibahagi kepada dua jenis.
a. kata majmuk wajar = maknanya dapat diketahui daripada makna kata-kata yang
menjadi komponennya.
Contoh kata majmuk wajar - isi perut, johan perlawanan, nikah gantung, olah raga , orang
gaji,rendah hati, uji kaji, tuan rumah , wang saku, warta berita.
b. kata majmuk kiasan =maknanya lain daripada makna yang ada pada kata-kata yang
menjadi komponennya.
Contoh kata majmuk kiasan;
buah hati (kekasih yang dicintai)
buah mulut (perkara yang menjadi bahan perbualan)
darah daging (anak sendiri)
otak udang (bodoh)
tumbuk rusuk (rasuah)
mabuk kepayang (orang yang tengah hangat bercinta)
tampuk kuasa ( orang yang paling berkuasa)
mandi keringat (melakukan kerja bersungguh-sungguh)
tali barut (orang yang bersubahat dengan kumpulan penjahat/ penjajah)
PERHATIAN
soalan yang dikeluarkan dalam 'O' level dalam bentuk membuat
ayat, memberi makna (daripada petikan kefahaman), atau mengenalpasti kesalahan dalam ayat.
SELAMAT BELAJAR....DAPATKAN A...!!!
KEJAYAAN DI TANGAN PELAJAR
Berjaya dalam akademik adalah matlamat utama ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ibu bapa sanggup berkorban masa, tenaga, dan wang dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik kerana mereka sedar bahawa pencapaian akademik yang baik menjanjikan masa depan yang cerah kepada anak-anak. Namun, berjaya atau tidak seseorang pelajar banyak bergantung kepada pelajar itu sendiri.
Sekiranya seseorang pelajar itu sedar akan kepentingan pelajaran kepada dirinya pada masa depan, pelajar tersebut sudah semestinya akan bertungkus lumus tanpa mengenal penat lelah untuk belajar semua topik yang terdapat sukatan pelajaran. Mereka yang bersikap rajin dan gigih ini biasanya mempunyai jadual waktu belajar semasa di rumah supaya masa yang tidak ternilai harganya dapat digunakan dengan baik.
Selain itu, pelajar yang ingin berjaya mempunyai sikap positif semasa berada dalam kelas seperti menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar dan bukannya berbual-bual dengan kawan, bertanya guru sekiranya tidak memahami topik yang diajarkan, dan menyiapkan latihan yang diberi oleh guru. Mereka juga akan mengadakan kumpulan perbincangan dengan kawan-kawan untuk bertukar-tukar pendapat.
Di samping itu, pelajar yang hendak berjaya juga akan mengulang kaji pelajaran yang telah dipelajari dalam kelas, dan menjawab soalan-soalan peperiksaan pada tahun sebelumnya. Masa yang digunakan untuk perkara-perkara yang melekakan seperti melayari internet untuk bermain permainan komputer atau untuk bersembang dengan kawan-kawan dikurangkan.
Oleh yang demikian para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan seharusnya meneliti diri mereka sama ada mereka termasuk dalam kumpulan pelajar yang akan berjaya atau sebaliiknya. Sekiranya mereka mempunyai sikap dan amalan yang akan membawa mereka ke arah kegagalan, mereka harus berusaha untuk berubah. Mereka harus sedar bahawa kejayaan pelajar itu bukan bergantung kepada guru tetapi kepada diri mereka sendiri.
PERHATIAN :
Sebagai latihan, cuba berikan makna setiap perkataan dan frasa yang telah dimerahkan.
SELAMAT MALAM..:-)
Wednesday, 15 July 2009
Monday, 13 July 2009
NOTA LENGKAP IMBUHAN ke-...-an.
Sunday, 12 July 2009
SEBAB-SEBAB BERLAKU KEMALANGAN JALAN RAYA
Kemalangan ialah kejadian buruk yang berlaku tanpa diduga dan boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira masa dan tempat. Kemalangan di jalan raya kerap berlaku di negara ini terutama dalam keadaan jalan raya sesak dengan kenderaan. Kemalangan melibatkan semua pengguna jalan raya. Kemalangan tersebut menyebabkan kecederaan ringan, kecederaan parah dan kematian. Banyak sebab berlakunya kemalangan ini.
Punca kemalangan yang pertama ialah sikap negatif pengguna jalan raya seperti suka memandu dengan laju.Kereta yang dipandu terlalu laju sukar dikawal dan diberhentikan jika terdapat halangan di hadapan. Kenderaan yang dipandu laju biasanya akan terbabas melanggar tiang lampu jalan atau jatuh ke dalam longkang.
Selain itu, terdapat juga beberapa perbuatan pemandu yang boleh menyebabkan kemalangan seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Penggunaan telefon bimbit menyebabkan seseorang pemandu hilang tumpuan dan perhatian. Mereka juga tidak dapat mengendalikan kenderaan mereka dengan baik kerana menggunakan sebelah tangan saja.
Di samping itu, terdapat juga kes kemalangan disebabkan oleh pemandu kenderaan yang mabuk atau berada dalam keadaan khayal kerana pengambilan arak atau dadah. Pemandu yang tidak akan dapat berfikir dengan waras tidak akan dapat mengawal pergerakan tangan dan kaki mereka dengan baik.
Faktor fizikal jalan raya juga menjadi punca kemalangan. Jalan raya yang bengkang-bengkok, terlalu sempit, bersimpang-siur dan berlubang-lubang akan mengganggu kelancaran pemanduan. Keadaan ini lebih berbahaya jika jalan raya tidak dilengkapi lampu jalan.Keadaan gelap-gelita ini akan menyukarkan pemandu mengawal kenderaannya.
Seterusnya terdapat juga kemalangan disebabkan oleh sikap cuai pengguna jalan raya seperti pejalan kaki yang tidak memerhati keadaan lalu lintas sebelum melintas jalan raya atau tidak menggunakan jejantas yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Tidak kurang juga kanak-kanak yang bermain-main seperti bertolak-tolakan semasa di jalan raya.
Kesimpulannya, kemalangan jalan raya boleh berlaku disebabkan banyak faktor. Faktor sikap dan kelemahan manusia adalah yang paling kerap menjadi punca kemalangan. Oleh itu, untuk mengurangkan jumlah kemalangan di jalan raya, manusia haruslah terlebih dahulu mengubah sikap mereka.
MEMBACA KUNCI KEPADA A. TERUSKAN MEMBACA...
SIMPULAN BAHASA
1. angkat bahu = menyatakan tidak tahu
2. bangkai bernyawa = hidup tidak berguna (terpaksa bergantung kepada orang lain kerana diri
tidak berupaya melakukan kerja)
3. hisap darah =memeras orang (mengambil keuntungan/faedah yang banyak daripada orang lain).
4. jinak-jinak merpati = orang yang kelihatan manja dan mudah dipujuk tetapi apabila didekati menjauhkan diri.
5. tidur makan = tidak membuat apa-apa pekerjaan
6. potong jalan = mendahului atau mengambil peluang orang lain.
7. tahan hati = cekal atau kuat hati menempuh dugaan dan kesusahan.
8. termakan budi = menerima kebaikan atau pertolongan orang lain.
9. daun telinga = bahagian telinga yang di luar, cuping telinga
10. lipat kajang = selekoh sungai, jalan dan sebagainya yang terlalu tajam
11. telinga nipis = mudah marah mendengar kata-kata yang pedas.
12. lipas kudung = membuat kerja dengan pantas.
13. kutu jalan = orang yang suka berjalan-jalan sehingga jauh malam tanpa sebarang tujuan.
14. kucing kurap = orang yang dipandang hina.
15. isi hati = perasaan
16. batu api = penghasut (membuat dua pihak/orang bergaduh)
17. cangkul angin = membuat kerja tidak berfaedah.
18. gelap mata = hilang pertimbangan.
19. neraka dunia = keadaan hidup yang amat susah.
20. muka tebal = tidak tahu malu
21. muka baharu = orang yang baru dilihat
22. muka selamba = tidak peduli
23. muka dua = tidak jujur (pandai berpura-pura baik)
24. muka papan = tidak tahu malu, tidak hirau teguran
25. air muka = wajah, maruah
26. beri muka = memanjakan (mengikut kemahuan seseorang)
27. masam muka = muka kelihatan marah dan muram
28. wang muka = bayaran pendahuluan
29. ambil muka = membuat sesuatu agar disukai orang lain.
Saturday, 11 July 2009
KOSA KATA
Seperkara yang perlu pelajar perhatikan ialah makna sesuatu perkataan itu akan berubah apabila menerima imbuhan yang berlainan.
Perkataan hari ini
1. sumbang - perbuatan yang tidak bersesuaian dengan norma/nilai moral masyarakat
Contoh ayat = Perbuatan sumbang pasangan kekasih itu menyakitkan hati dan
mata orang ramai.
2. sumbangan - sesuatu yang diberikan sebagai bantuan.
contoh ayat =Pemuda dan pemudi di negara ini masih sedikit sekali memberi
sumbangan kepada tanah air.
3.pendapat- buah fikiran, idea
contoh ayat = Pada pendapat saya, masalah ponteng sekolah dapat diatasi jika
pihak sekolah mengenakan tindakan disiplin yang tegas.
4.pendapatan -hasil pencarian, pekerjaan, gaji, upah
contoh ayat = Walaupun hanya berniaga kecil-kecilan, pendapatan
bulanannya lebih daripada B$5,000.
5. pelari - atlit acara olahraga
contoh ayat =Pelari pecut yang terkenal itu telah dianugerahi gelaran atlit
terbaik kejohanan Olimpik.
6.pelarian- orang yang lari dari negaranya ke negara orang lain.
contoh ayat = Pelarian perang Vietnam diberi perlindungan dan bantuan oleh
Malaysia.
7.ketam - hidupan laut, atau alat untuk menghaluskan papan
contoh ayat = Papan yang akan dibuat meja itu sudah saya ketam kelmarin.
<
8. mengetam - menuai padi
contoh ayat = Kerja mengetam padi biasanya dijalankan dalam bulan Mac
apabila padi sudah masak.
9. pandangan - pendapat , buah fikiran
contoh ayat = Pandangannya sentiasa diterima oleh majikannya kerana dia
anak emas majikannya.
10.pemandangan - penglihatan, keadaan alam yang indah
contoh ayat = Pemandangan di tepi pantai itu pada waktu senja sangat indah.
Friday, 10 July 2009
AYAT PASIF I , II DAN III
Kucing ini cakap, ambillah masa baca topik yang cikgu sediakan dalam ruangan blog ni. Ada faedahnya! ^_^
Perhatian :
-Soalan ayat pasif biasanya diberikan sebanyak 10 markah.
-Soalan boleh dalam bentuk menukar ayat aktif kepada pasif atau ayat pasif kepada ayat aktif.
1. Ayat Pasif Diri I
Pelaku atau orang yang melakukan kerja di dalam ayat ini terdiri daripada orang pertama-kata ganti nama diri pertama-contohnya aku, saya, kami, kita, patik, hamba, beta.
2. Ayat Pasif Diri II
Pelaku kerja adalah orang kedua- kata ganti nama diri kedua- contohnya kamu, engkau, anda, kalian.
Struktur Ayat Pasif I dan II
-Ayat pasif I dan II mempunyai struktur yang sama iaitu
Objek -> kata bantu ->pelaku ->kata kerja pasif ->keterangan.
Contoh ayat;
a. Kerja rumah yang diberi oleh Cikgu Ali sudah saya siapkan tadi.
b. Orang tua yang miskin itu pernah kamu bantu?
3. Ayat pasif III
Pelaku terdiri daripada;
a. Kata Ganti Nama Diri III - dia, mereka, beliau, baginda
b. Kata Nama Khas - Nazmi, Dayang Ummi Salwa
c. Kata Nama Am - kucing, pelari, jururawat, peragawan
Struktur Ayat Pasif III
Objek ->Kata bantu -> di + kata kerja pasif ->oleh-> pelaku ->keterangan.
Contoh ayat
a. Rumah usang itu telah dirobohkan oleh penduduk kampung dua hari lalu.
b. Penyanyi terkenal itu diminati oleh golongan remaja.
Kata Bantu terbahagi kepada dua;
a. kata bantu aspek -akan, telah, sedang, belum, masih, pernah, sudah, dll.
b.kata bantu ragam -dapat, boleh, mesti, harus, patut, dll.
Kata kerja pasif
Tidak mempunyai awalan me- (meng, me, mem, men) tetapi akhirnya -kan dan -i MESTI dikekalkan (tidak dibuang).
GAYA HIDUP SIHAT
Gaya hidup yang sihat membawa kebaikan kepada kita kerana jika kita mengamalkannya sepanjang masa, hidup kita akan menjadi lebih bahagia dan gembira. Antara gaya hidup yang baik kepada kita ialah mengelakkan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan mendatangkan penyakit seperti merokok, minum arak dan mengambil dadah sama ada dalam dos yang sedikit atau banyak.
Selain daripada itu, kita harus memberi perhatian kepada pemakanan kita kerana pemakanan yang baik boleh membekalkan vitamin dan mineral untuk menguatkan pertahanan tubuh kita. Makanan yang tidak berkhasiat walaupun enak dimakan seperti makanan segera dan daging bergoreng hendaklah dikurangkan. Buah-buahan, sayur-sayuran dan daging putih bolehlah disenaraikan sebagai makanan yang baik.
Di samping itu, orang yang gaya hidupnya sihat akan prihatin terhadap masa rehat dan masa tidurnya. Tempoh tidur yang cukup iaitu antara enam hingga lapan jam akan memberi peluang kepada tubuh kita untuk membina sel-sel baru. Berehat daripada sebarang pekerjaan pula dapat mengurangkan tekanan dan menenangkan tubuh. Pada masa yang sama, kita boleh melakukan senanam ringan.
Gaya hidup yang sihat juga termasuklah cara pergaulan kita dengan manusia di sekeliling kita. Setiap manusia memerlukan kawan, namun untuk berkawan kita hendaklah pandai memilih kawan. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada terpengaruh dan terjerumus dalam perkara yang tidak sihat seperti terlibat dalam jenayah atau penyalahgunaan dadah. Kawan yang bersikap baik pula dapat kita jadikan sebagai tempat meluahkan perasaan dan berbincang tentang masa depan.
Seterusnya, kita harus sentiasa berfikiran positif tentang diri kita dan masa depan kita. Apabila usaha yang kita buat bertemu kegagalan, janganlah mudah mengaku kalah. Apabila kita berdepan dengan masalah, janganlah mudah hilang akal. Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa setiap masalah ada penyelesaiannya. Kita patut yakin bahawa setiap kejadian yang berlaku kepada kita ada hikmahnya.
Selain itu, kebersihan dari segi mental, fizikal dan persekitaran hendaklah sentiasa dijaga. Mental kita boleh dibersihkan melalui amalan ajaran agama yang baik. Perkara yang boleh merosakkan mental seperti laman lucah hendaklah dielakkan. Mandi, memakai pakaian bersih, dan mencuci tangan pula adalah antara cara menjaga kebersihan fizikal. Kebersihan rumah, halaman rumah dan alam sekitar juga hendaklah dijaga.
Sesungguhnya terdapat banyak perkara yang perlu kita berikan perhatian untuk hidup dalam keadaan yang sihat. Hampir kesemua perkara tersebut berpunca daripada diri kita sendiri. Kita adalah orang yang bertanggung jawab menentukan gaya hidup kita dan bukannya orang lain. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengamalkan gaya hidup yang sihat.
MEMBACA SUMBER ILMU!!! Teruskan membaca setiap hari. :-)
PERAMBAHAN BRUNEI-diedit pada 12/7
Perambahan Brunei diberi antara 5 hingga 10 markah sahaja.
Soalan berkemungkinan dalam bentuk:-
a.memberi makna untuk perambahan Brunei yang terdapat dalam soalan
b.memberi perambahan Brunei yang sesuai dengan situasi yang diberi
c. menulis ayat yang dapat menunjukkan makna perambahan Brunei.
ULANG KAJI (44 Perambahan Brunei - daripada buku teks Men 4 dan 5)
1.amai tangan :suka menjangkau-jangkau (menyentuh) sesuatu tanpa tujuan
2.ampar kajang:jatuh terlentang 9akibat dipukul atau tergelincir)
3.anak bunga tubuh : anak sulung
6.barang tikam-tikaman : barang yang rendah mutunya
9.basar awa : besar keinginan tanpa perhitungan (tidak melihat keupayaan diri)
10.berangin : tidak tetap pendirian (selalu berubah)
11.berisi jua balanga : beroleh jua tangkapan (ikan)
12.berkulut-kulut : sentiasa berada di satu tempat.
13.biawak punggur : lelaki yang malas dan enggan berusaha mencari rezeki
17.cardik macam buratak nasi : bercakap tidak berhenti-henti.
18.carai-carai patungut : perselisihan di kalangan sanak saudara tidak akan membawa bercerai-berai.
19.cukup pun inda tangan kiri : bukan tandingan atau lawanan.
20.diangkat digalar : dipindah-pindah dari satu tempat ke satu tempat.
22.garam-garam sakit : rasa marah yang masih dapat dikawal(geram)
23.galak rasa : terasa malu
24.ikat galang-galang : sesuatu yang belum muktamad.
25.inda arakat : tidak kekal (pencarian, perolehan, pendapatan)
26.panas tangan : tidak dapat berjimat cermat (boros)
27.Inda tantu bigi-bigian : perkataan atau percakapan tidak jelas didengar
28.kalang ati : sedih hati hingga tiada selera makan dan minum kerana teringat orang yang dikasihi.
29.kambang buku : berasa ngeri atau seram (takut)
30.kapir malaun : orang yang terlalu jahil tentang agama.
31.kedapatan akhir : terlewat , sudah tua (sama dengan kedapatan siang)
32.lada padi : berbadan kecil tetapi berani
34.macam itik sudu-sudu : suka menghadirkan diri walaupun tidak dijemput.
35.macam gulambir ayam : kendur dan berkedut-kedut (kulit)
36.macam ular lundung: malas
37.masak puji : suka dipuji ketika membuat sesuatu
38.membawa rasa : pergi ke mana-mana mengikut perasaan
39.membuang ukas : melepaskan perasaan geram dan marah.
40.minyak-minyak : terlalu mudah (melakukan sesuatu)
41.orang damit-damit:orang kebanyakan (orang biasa)
42.otak di kapala tuhut : tidak menggunakan fikiran dengan betul.
43.palandukan: kurang betul tajwid, sebutannya (membaca quran)
44.pacah-pacah bigi :tidak lancar membawa
45.puah ati :tidak tabah menghadapi dugaan dan cabaran.
46.rambang-rambang kuasi :cuba-cuba atau agak-agak sahaja.
47.sanak nyawa :sesak fikiran
48.surung kurapak :banyak cakap kurang bekerja.
49.tukang sabut :pandai bercakap sahaja
50.turun-turun ayam :pergi atau membuat sesuatu tanpa persediaan
51.waimapun ancur bersiut :apa pun yang akan terjadi (enggan bertolak ansur)
52. membuang ukas : melepaskan perasaan marah dan geram.
53. macam ampulur gandum : Tidak bertenaga (orang),
54. pantas mulut : cepat menyebarkan cerita.
55. lidah api : keras dan kasar (percakapan)
56. anak dagang : anak yang kematian ibu kandungnya.
57. tanggung-tanggung alang : tidak bertanggungjawab sepenuhnya.
SELAMAT MENGULANG KAJI PELAJARAN ANDA. TERUSKAN USAHA :-)
****terima kasih Chuen Han *****
Wednesday, 8 July 2009
TATABAHASA (KESALAHAN DALAM AYAT)
USAHA MENINGKATKAN MUTU SUKAN DI BRUNEI
ISI ---> USAHA (CARA) MENINGKATKAN MUTU SUKAN
Aktiviti sukan terdapat di mana-mana saja. Terdapat beberapa sukan yang terkenal di dunia seperti bola sepak, bola keranjang, badminton, seni mempertahankan diri, dan golf. Antara atlit yang terkenal di seluruh dunia ialah Tiger Wood, dan David Beckham. Setiap negara berusaha menggalakkan rakyatnya melibatkan diri dalam sukan kerana sukan mendatangkan kebaikan. Pelbagai usaha untuk menaikkan mutu sukan juga dibuat secara berterusan.
Usaha yang telah diambil oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan mutu sukan negara pada masa kini adalah seperti membina sekolah sukan. Sekolah ini menempatkan generasi muda yang mempunyai bakat dalam bidang sukan masing-masing. Di sekolah ini, bakat mereka diasah dengan bimbingan guru-guru sukan yang berkelayakan dan berpengalaman menyertai pertandingan di peringkat antara bangsa.
Selain itu, kerajaan juga menggalakkan penubuhan persatuan sukan oleh badan-badan bukan kerajaan. Persatuan renang, bola sepak, badminton, dan karate banyak didapati di negara ini. Setiap persatuan mempunyai jurulatih yang bukan saja diambil dari dalam negara tetapi juga dari luar negara.Jurulatih yang mahir dalam bidang mereka akan memberikan tunjuk ajar kepada ahli-ahlinya.
Selain daripada itu, kerajaan juga memperkenalkan skim ganjaran kepada atlit yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antara bangsa seperti sukan SEA, Asia, dan Olimpik. Mereka yang berjaya membawa sebutir pingat balik ke negara ini akan diberi ganjaran yang lumayan dalam bentuk wang.Ganjaran seperti itu sudah semestinya memberi semangat kepada atlit untuk terus berusaha hingga berjaya.
Kerajaan juga menggalakkan kanak-kanak yang masih muda untuk melibatkan diri dalam bidang sukan melalui Pendidikan Jasmani dan kegiatan kokurikulum yang memasukkan kelab sukan sebagai satu daripada persatuan yang boleh disertai oleh pelajar. Pelajar yang berbakat dalam bidang sukan yang diminatinya akan berpeluang untuk menunjukkan bakat mereka apabila terpilih sebagai wakil sekolah dalam beberapa pertandingan.
Secara keseluruhannya dapat dikatakan bahawa mutu sukan negara ini masih dapat ditingkatkan sekiranya usaha-usaha yang telah dan sedang dibuat diteruskan. Kerajaan dan masyarakat juga seharusnya berusaha mencari cara untuk meningkatkan mutu sukan supaya bendera negara ini akan berkibar di kejohanan antara bangsa pada suatu hari kelak.
SELAMAT MENAMBAH ILMU PENGETAHUAN
Tuesday, 7 July 2009
DADAH MEMBAWA MUDARAT KEPADA MANUSIA.HURAIKAN
2. Perkataan yang perlu anda berikan perhatian dan fahami ialah mudarat. Mudarat bermaksud kesan buruk.
3. Sebelum menulis karangan- adalah perlu untuk anda membuat rangka karangan (draft) atau peta minda (mind map) untuk membolehkan anda melihat sendiri sama ada anda mempunyai
cukup isi atau tidak.
4. Oleh itu, apabila anda memilih tajuk ini, anda harus tahu isu (topik) utama dalam tajuk ini dan isi (kehendak soalan).
CONTOH
Isu : dadah (kenapa dadah? jawapannya kerana dadah ialah perkataan yang disebut dari perenggan pertama hingga terakhir)
Isi (huraian yang dikehendaki oleh soalan) = mudarat yang dibawa oleh dadah kepada manusia.
5. Selepas mengenali pasti isu dan isi tajuk tersebut, anda bolehlah membuat rangka karangan dengan menjadikan isu sebagai pendahuluan/ pengenalan.
## beri perhatian bahawa ayat terakhir pengenalan anda hendaklah membayangkan isi-isi yang akan anda tulis. Contohnya - dadah membawa mudarat kepada manusia.
6. Membuat rangka atau peta minda karangan. Rangka hendaklah ditulis dengan kemas.
RANGKA KARANGAN
a. Pengenalan -
penahan sakit, diharamkan di setiap negara, pengedaran membawa hukuman mati, contohnya heroin, marijuana, ganja dan syabu, dijual dalam bentuk pil, kapsul, dan serbuk, penagihan disebabkan banyak punca, membawa mudarat kepada manusia.
b. Isi (anda mesti mempunyai sekurang-kurangnya lima isi)
I - menyebabkan ketagihan - mesti mendapatkan dadah sepanjang masa,
jika tidak mendapat dadah berasa lemah seluruh anggota badan, tiada
semangat untuk menjalani kehidupan,sukar untuk melepaskan diri
daripada ketagihan ini.
II - kualiti kerja merosot - hilang kerja- hilang gaji - keluarga mengalami masalah kewangan - hubungan dengan kawan dan keluarga jarang, anak-anak tidak dapat dibesarkan dalam keadaan yang baik - menyebabkan mereka tercicir.
III-penagih terlibat dalam jenayah dan keganasan (beri contoh) - untuk mendapatkan duit supaya dapat membeli dadah- akhirnya mereka ditangkap polis, mati dibelasah orang ramai, atau ditembak oleh polis.
IV- kesihatan fizikal dan mental terjejas -HIV melalui perkongsian jarum suntikan, sel dan saraf dalam otak musnah - menyebabkan ketidakwarasan - akhirnya tidak mampu menjaga diri sendiri - membebankan keluarga dan masyarakat.
V - pengedaran dadah untuk mendapatkan wang yang banyak - berisiko tinggi - jika ditangkap - dipenjara seumur hidup atau dihukum mati - nyawa yang diberi oleh Allah disia-siakan.
c. Penutup - dadah menyebabkan ketagihan, masalah kesihatan, sosial, dan jenayah- dadah harus dijauhi kerana hanya membawa keburukan - kempen kesedaran tentang bahaya dadah mesti diperbanyak.
7. Tulis karangan anda dengan kemas dan jangan lupa menggunakan penanda wacana seperti selain itu, di samping itu, seterusnya, selain daripada itu, untuk menyambungkan setiap perenggan.
SELAMAT MENCUBA...:-))