Thursday 30 July 2009

PUNCA PENYALAHGUNAAN DADAH DAN CARA MENGATASINYA

(Gambar ini cikgu ambil di Cabramatta Sydney, banyak penagih di sini!!)
Penyalahgunaan dadah bukan perkara baru di dunia ini. Masalah ini telah berlaku sejak ratusan tahun lalu. Sebenarnya, dadah yang menjadi ubat penahan sakit sebenarnya tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan. Masalah timbul apabila manusia menyalahgunakannya untuk kepuasan dan keseronokan diri mereka. Antara dadah yang terdapat di dunia ini ialah heroin, marijuana, morfin, ganja, dan syabu.


Banyak negara menjadikan dadah sebagai musuh utama negara. Hal ini disebabkan penyalahgunaan dadah mengakibatkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Seorang penagih dadah yang hidup dalam ketagihan boleh mengakibatkan masalah jenayah seperti mencuri atau merompak semata-mata untuk mendapatkan wang supaya dapat membeli dadah. Mereka yang tidak dapat diselamatkan daripada ketagihan juga akan menjadi sampah masyarakat. Malah ada yang menjadi tidak siuman.


Penyalahgunaan dadah sebenarnya berpunca daripada pelbagai faktor. Faktor pertama ialah keinginan mencuba sesuatu perkara yang baru. Keinginan ini akan menjadi teruk sekiranya seseorang itu bergaul dengan penagih kerana mereka boleh terpengaruh dan mudah pula untuk mereka mendapatkan bekalan dadah.


Selain itu, tekanan yang dialami akibat masalah peribadi, keluarga dan kerja turut mendorong seseorang itu untuk menyalahgunakan dadah. Apabila tekanan emosi keterlaluan, kemurungan berlaku hingga mereka tidak mampu lagi berdepan dengan tekanan itu. Akhirnya dadah menjadi teman setia yang dapat membolehkan mereka lupa kepada tekanan yang dihadapi.


Penyalahgunaan juga disebabkan oleh kurangnya kesedaran terhadap kesan buruk yang akan menimpa mereka yang ketagih dadah. Sudah pasti banyak remaja yang tercicir dari sekolah atau yang berasal dari luar bandar tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang kesan buruk dadah. Oleh itu, apabila mereka telah merasai nikmat dadah, mereka beranggapan tiada apa-apa yang akan berlaku kepada mereka.


Sekiranya disenaraikan satu persatu, keburukan yang dibawa oleh dadah adalah sangat banyak. Oleh itu, penyalahgunaan dadah harus diatasi. Cara mengatasi yang utama ialah pendidikan mengenai bahaya dadah. Pendidikan ini kelak mengelakkan remaja terjerumus dalam dadah. Pendidikan patut dilakukan oleh ibu bapa dan guru.


Kempen kesedaran yang lebih berkesan haruslah diadakan dari masa ke masa oleh pihak kerajaan dan swasta. Pelbagai aktiviti hendaklah diadakan semasa kempen ini berlangung dan aktiviti itu hendaklah melibatkan kumpulan remaja yang sering menjadi sasaran mudah para penjual dadah.


Para penjual dadah sama ada pembekal atau pengedar pula hendaklah dijatuhi hukuman yang berat seperti gantung sampai mati. Hukuman yang diterima oleh mereka akan dapat membuka mata orang yang baru berjinak-jinak dengan dadah. Mereka akan berasa ngeri untuk melakukan perbuatan itu.


Kesimpulannya, dadah membawa banyak kesan buruk. Penyalahgunaan dadah juga berpunca daripada banyak faktor. Namun terdapat banyak cara untuk mengatasi penyalahgunaan ini. Kita haruslah terus memerangi dadah agar masyarakat kita tidak menjadi lemah.


ANDA akan mendapat A jika TERUS membaca!!

6 comments: